BUKAN mudah untuk pendatang baharu mendakap populariti dalam sekelip mata, namun kalau sudah tertulis rezeki, itu bukan sesuatu yang mustahil.
Sepertinya, rezeki itu diraih bakat baharu yang kini ligat mencipta nama iaitu Jazmy Juma.
Kehadirannya masih asing dalam industri seni tanah air namun tanpa sedar namanya mula menjadi sebutan ramai selepas muncul menerusi drama Nuh & Nayla yang tular baru-baru ini.
Akui jejaka tinggi lampai berusia 26 tahun itu, tekanan dirasainya sangat tinggi ketika menerima tawaran naskhah tersebut, apatah lagi disiarkan dalam slot drama memiliki rating tinggi.
“Ketika terima tawaran memang rasa tekanan itu ditambah pula pegang watak hero. Itu satu tanggungjawab yang besar.
“Bagi memberi hasil yang baik, saya beri usaha lebih dengan pergi ke kelas lakonan dan dapatkan nasihat daripada pelakon senior,” kata pemilik nama penuh Jazmy Khan Juma Khan itu kepada HibGlam baru-baru ini.
Sama seperti pelakon baharu lain, dia turut dihurung kebimbangan sekiranya cara lakonan yang dipersembahkan tidak mampu menambat hati penonton sehingga boleh mencacatkan sesebuah karya.
“Saya lebih kepada risau kalau lakonan tidak menjadi dan netizen tak boleh terima cara saya menjayakan sesebuah karakter.
“Bukannya terlalu takut dengan kecaman tetapi kalau boleh saya nak elak daripada beri tanggapan negatif kepada netizen.
“Sebagai pelakon baharu, pastinya saya nak beri yang terbaik dan kekal lama dalam industri dengan bakat sendiri,” ujarnya yang pernah membintangi filem Pulau.
Ditanya tentang respons ramai mengenai lakonannya dalam Nuh & Nayla, Jazmy bersyukur ramai menerima baik setakat ini.
“Alhamdulillah setakat ini memang banyak komen positif berbanding negatif.
“Saya sudah berikan yang terbaik, terpulang kepada penonton untuk menilai. Harap momentum ini berterusan lama,” katanya lagi.
Ditanya resipi mencipta keserasian dengan pelakon lain, sebagai pendatang baharu, dia akan berkawan dengan semua individu khususnya barisan pelakon di set penggambaran.
Bukan mahu ‘membodek’, Jazmy menegaskan perkara tersebut adalah keperluan demi memudahkannya untuk mendapatkan titik keserasian ketika berlakon terutama dengan heroin gandingannya.
“Untuk mencipta keserasian, saya akan berkawan dengan setiap pelakon, khususnya heroin yang digandingkan untuk drama tersebut.
“Bagi saya perkara itu penting sebab akan memudahkan kerja kita. Jangan sesekali bersikap ‘diva’ dan sombong dengan pelakon lain, tak mendatangkan untung pun,” kongsinya.
Aiman Hakim Ridza
Selain respons positif tentang lakonan, Jazmy tidak terlepas daripada dihujani dengan komen yang mengatakan wajahnya mirip pelakon kacak, Aiman Hakim Ridza.
Lucunya, ada juga yang membuat andaian sendiri bahawa mereka berdua mempunyai pertalian persaudaraan.
Akur dengan segala komen sebegitu, dia bagaimanapun tidak pernah berasa rimas namun berbangga kerana disamakan dengan pelakon yang bagus.
“Banyak komen puji lakonan tetapi lagi ramai yang komen tentang wajah saya yang katanya ada iras Aiman.
“Saya tak rimas dan tidak mampu halang apa orang nak cakap sebab itu yang mereka lihat.
“Apa pun, saya okey dan gembira sebab mereka bukannya samakan dengan orang yang teruk tetapi pelakon yang bagus,” tuturnya tersenyum lebar.
Pada saat ramai bercakap tentang kemiripan wajahnya, anak kelahiran Ipoh, Perak itu meletakkan harapan agar dirinya dikenali kerana bakat dan bukannya disebabkan wajah iras artis lain semata-mata.
“Harap selepas ini orang nampak saya sebagai Jazmy Juma. Saya pun ada identiti, bakat dan pembawaan sendiri.
“Sebenarnya benda ini sudah lama tetapi sebab drama Nuh & Nayla, semakin ramai bercakap, jadi saya tak terkejut pun,” jelasnya lagi.
Tak cemburu
Dikatakan lambat panas, dia yang merupakan bekas peserta Hero Remaja 2019/2020 berkata, tidak kisah kerjaya seni dikatakan perlahan berbanding populariti yang mula ‘hinggap’ rakan seperjuangan lain.
Tiada rasa terkilan, dia yang pernah bekerja dalam bidang binaan sebelum menyertai Hero Remaja berkata, perjalanan karier ketika ini berjalan mengikut seperti direncanakan.
“Selepas berakhir Hero Remaja, saya ‘senyap’ selama setahun untuk selesaikan kerja tertunggak dalam bidang pembinaan yang diceburi sebelum ini.
“Kemudian saya hadir ke kelas lakonan untuk pastikan ‘tidak kosong’ apabila masuk industri. Selepas itu, barulah saya aktif dan berani untuk terima tawaran berlakon.
“Saya nak masuk industri dengan ‘isi’ bukannya kosong supaya tak menyusahkan orang lain. Kalau masuk industri terlalu cepat tetapi tiada ilmu pun susah juga,” jelasnya lagi.
Katanya lagi, perasaan cemburu juga tidak pernah terbit dalam diri apabila melihat rakan seperjuangan Hero Remaja lain lebih menyerlah ketika ini.
“Tak cemburu langsung tetapi bangga sebab mereka berjaya capai apa yang dikejar selama ini.
“Harap orang tak membanding-banding kami, masing-masing mempunyai jalan dan sasaran yang berbeza,” ungkapnya menutup perbualan. – HIBGLAM