“Tak perlu makan ubat setiap hari” – Eman Manan dedah tip sihat

Pelakon senior, Eman Manan bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik dan mampu makan apa sahaja pada usia 66 tahun.

Menurut Eman atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong, penyakit bukan datang daripada keturunan semata-mata namun, turut menjadi faktor adalah gaya hidup seseorang.

“Bidang lakonan memerlukan orang yang sihat. Bila fizikal sihat, maka pemikiran juga sihat. Disiplin harus dijaga.

“Penyakit datang daripada tiga sumber. Pertama keturunan, kedua gaya hidup dan ketiga apa yang kita makan.

“Alhamdulillah tiada ubat yang perlu saya makan setiap hari. Saya boleh makan apa sahaja. Kalau ada yang buat jamuan sembelih kambing boleh jemput saya. Musim durian nak ajak saya makan pun boleh. Terutamanya musang king saya tak tolak,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Takluk: Lahad Datu baru-baru ini.

Bercakap mengenai filem terbaru lakonannya tersebut, pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali itu mengakui tertarik dengan skrip dan watak yang ditawarkan.

Dalam filem arahan Zulqarnain Azhar itu, Eman membawa watak antagonis sebagai Raja Iskandar yang merupakan ketua kumpulan pengganas.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya turut mengikuti berita tentang peristiwa yang berlaku di Lahad Datu satu ketika dahulu. Masih tersemat di dalam ingatan saya tentang apa yang berlaku.

“Apabila ada sebuah produksi yang ingin membawa kisah ini ke layar perak, saya sangat berbesar hati untuk menerima tawaran yang diberikan. Filem ini menceritakan tentang salah satu peristiwa besar yang berlaku di negara kita.

“Biarpun watak ini adalah antagonis dan tidak banyak babak seperti watak lain, tetapi ia sangat penting. Watak ini juga berlainan dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini di mana saya sering diangkat sebagai wira, pejuang, ahli agama yang pada akhirnya membawa kejayaan,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok