TERKEJUT nama dikaitkan dengan individu bergelar Datuk H, penyanyi Adira Suhaimi tampil manepis dakwaan netizen kononnya dirinya menjalin hubungan dengan individu itu.
Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 32, berkata, dia tidak mengenali gerangan yang dikatakan Datuk H itu selain mengesahkan individu tersebut tidak wujud.
“Saya sebenarnya tidak kejar sesiapa. Datuk H itu pun tidak wujud.
“Secara peribadi saya juga tidak tahu sumber (dakwaan) itu datang daripada mana.
“Saya sendiri terkejut apabila ada yang mengaitkan Datuk H dengan saya. Terus-terang saya memang tidak kenal atau tahu siapa Datuk H,” katanya kepada HibGlam.
Adira yang ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan jenama Elegant sebagai penaja utama drama dalam talian Jangan Tinggal Abang Dek! di sini hari ini.
Pada masa sama, penyanyi lagu Ombak Rindu itu mengakui menjalin hubungan baik dengan bekas suami iaitu Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, 47.
Malah, Adira juga tidak menolak bertemu jodoh semula dengan Red pada masa hadapan.
Tambahnya, bekas suaminya itu mengetahui khabar angin itu tetapi tidak mempedulikannya.
“Dia tidak bertanya, tetapi tahu tentang itu (dakwaan bercinta dengan Datuk H) dan percaya dengan saya.
“Saya tidak mahu komen lebih-lebih. Saya mohon doa yang baik-baik. Sekarang kita yakin dan insya-Allah.
“Kita cuba kalau ada jodoh, kami bersama tetapi jika tiada jodoh, saya tetap akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Sekarang ini kita sedang berusaha, dia ada perkara yang hendak dicapai begitu juga saya,” katanya.
Sebelum ini kecoh khabar angin Adira sedang mengenali hati budi seorang lelaki dikenali sebagai Datuk H.
Terdahulu, Adira dan Datuk Red bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang setelah sembilan tahun hidup bersama.
Adira dan Datuk Res berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2. – HIBGLAM