Sharifah Rose tolak pembantu peribadi, selesa bergerak sendiri

LIMA tahun bergelumang dalam sepak terajang dunia hiburan mengajar Sharifah Rose untuk lebih bijak mengatur kerjaya sebagai pelakon dan juga pempengaruh media sosial.

Memegang dua portfolio bukan perkara mudah terutama untuk mengatur jadual agar tidak bertindan antara satu sama lain.

Ujarnya, perkara tersebut yang membuatnya memilih untuk ‘sepi’ daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan terhadap perniagaan dan kerjaya sebagai influencer.

Ikuti temu bual HibGlam minggu ini bersama Rose yang merungkai isi hatinya tentang perihal ‘bebas’ sebagai pempengaruh dan projek drama terbaharunya, Cinta Bukan Milik Kita.

HIBGLAM: Hampir setahun berehat daripada bidang lakonan, adakah sudah tawar hati atau kini meletakkan fokus terhadap hal lain?

ROSE: Tahun lalu saya banyak beri fokus terhadap bidang perniagaan dengan meneroka industri fesyen. Sebab itu perlahankan kerjaya seni.

Saya bermula sebagai pempengaruh dan barulah menjadi pelakon. Kalau boleh tak mahu biarkan salah satu terkubur, jadi saya usaha sehabis baik untuk seimbangkan kedua-duanya.

Jadi, adakah sukar untuk anda membahagikan masa sebagai pelakon dan pempengaruh?

Agar sukar untuk bahagikan masa ditambah pula kalau ada projek lakonan, jadual memang akan padat dengan penggambaran sahaja.

Selain itu, saya juga menguruskan kerjaya sendiri dan tiada pembantu peribadi sebab mempunyai masalah sukar mempercayai orang lain.

Apa pun, 2024 adalah tahun untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan.

ROSE bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Cinta Bukan Milik Kita tidak lama lagi.

Apabila memilih untuk berehat dalam bidang lakonan, adakah anda tidak risau sekiranya dilupakan peminat?

Tiada istilah bimbang kalau wajah saya tidak atau kurang dalam televisyen.

Saya tak pernah risau dilupakan peminat. Kalau kerap sangat muka yang sama, nanti orang bosan pula dan naskhah berkualiti juga antara perkara saya pentingkan.

Bagi saya, tak perlu kejar populariti kerana jika ditakdirkan rezeki, perkara itu akan tetap jadi milik kita.

Boleh anda berkongsi tentang drama Cinta Bukan Milik Kita lakonan bersama Khai Bahar?

Watak Manis, seorang gadis bandar yang berpindah ke Perlis dan drama ini mengetengahkan tentang cinta dua darjat.
Karakter ini agak berat juga selain kali pertama saya jalani penggambaran di luar Kuala Lumpur iaitu di Perlis.

Syukur sebab tidak sukar untuk sesuaikan diri dan rupa-rupanya Perlis adalah negeri yang sangat cantik dan serta banyak lokasi menarik untuk diterokai.

Bagaimana anda mencipta keserasian dengan Khai untuk drama ini?

Mencipta keserasian itu mudah saja sebab kami pernah bekerjasama sebelum ini.

Khai pula memang individu happy go lucky di set penggambaran. Jadi, memang tiada masalah dan keserasian itu hadir dengan sendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok