PELAKON dan pempengaruh media sosial, Sharifah Rose mendedahkan pernah menerima tawaran RM60,000 sebagai ‘peneman’ golongan kenamaan atau VVIP.
Menurut Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 25, bayaran lumayan tersebut ditawarkan kepadanya untuk menemani golongan kenamaan makan.
“Saya pernah dapat mesej tawaran RM60,000 hanya untuk teman makan sahaja.
Tapi saya fikir agak mengarutlah nak teman makan sahaja, apatah lagi tidak mengenali individu yang perlu ditemani itu,” katanya.
Tambah pelakon drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu, sikapnya yang introvert juga antara sebab dia menolak tawaran tersebut.
Selain jadi teman makan, dia juga pernah dipelawa untuk bercuti oleh individu tidak dikenali dalam Instagram.
“Saya jenis introvert, jadi saya rasa macam bahaya dan tak mahu pergi.
Teman makan, teman pergi bercuti tapi saya tidak pernah balas pun. Tetapi yang buat tawaran itu adalah seorang perempuan.
“Kadang-kadang kita tak tahu dengan siapa kita berkawan. Muka nampak baik tapi macam itulah kejadiannya,” ujarnya.
Sebelum ini, pelakon Puteri Sarah Liyana juga pernah menjadi sasaran seorang wanita yang menyamar sebagai Nadia Brian menawarkannya menjadi ‘peneman’ golongan VIP dengan bayaran lumayan RM15,000. – HIBGLAM