SELEPAS Fara Salleh mendakwa suaminya, Shuk Sahar menjaja cerita buruk mengenai dirinya, pelawak terbabit tampil menangkis tuduhan dilemparkan.
Shuk atau nama lengkapnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 38, turut berharap orang ramai menilai segala yang berlaku menggunakan akal fikiran, bukan terus jatuh hukum.
Seumur hidup, aku tidak pernah bercerita buruk tentang orang.
“Harap orang boleh guna akal dan fikiran untuk menilai,” katanya menerusi InstaStory.
Semalam, Fara dikatakan sudah hilang sabar dengan sikap bekas peserta Raja lawak itu yang dikatakan bercerita mengenai keburukan dirinya kepada kenalan sekali gus menjejaskan nama baiknya.
Dia turut mendedahkan menyesal kahwin dan meminta diceraikan kerana sudah penat melayan karenah suaminya itu.
Bagaimanapun, Shuk tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai isu isterinya minta diceraikan selepas tidak menemui jalan penyelesaian kerana lelaki asal Pulau Pinang itu dikatakan tidak berubah walaupun sudah banyak kali berbincang.
Terdahulu, nama Fara pernah menjadi bualan apabila didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Shuk bersama bekas isteri.
Sebelum bersama wanita itu, Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015 tetapi bercerai pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun. – HIBGLAM