Susulan kecemerlangan anak dalam bidang sukan, pelakon Rita Rudaini meluahkan rasa bangga terhadap dua puteranya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Kata Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, selain bimbangkan masa depan anak-anak, dia sentiasa bangga dengan setiap pencapaian mereka.
“Mommy selalu risau tentang masa depan kamu, selalu penat dan letih tetapi tetap berusaha untuk kamu.
“Mommy banyak berkorban demi kebahagiaan kamu dan akan rasa bersalah jika tak pernah ada dengan kamu.
“Mommy sangat bangga walau apa saja pencapaian kamu walau sekecil-kecil apa pun,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam masa sama, pelakon filem Mami Jarum Junior itu bimbang jika anak-anaknya tidak boleh menerima kekurangannya sebagai seorang ibu dalam membesarkan mereka.
“Mommy tahu mommy tidak sempurna, boleh ke kamu terima?
“Hati mommy akan hancur bila kamu dalam kesedihan.
“Diri mommy dah tiada apa-apa kerana semua keutamaan hal hanya pada kamu,” jelasnya lagi.
Minggu lalu, Rita anak sulungnya, Rayyan berjaya memecahkan rekod acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam yang berusia 20 tahun.
Bukan hanya itu, Rayyan turut muncul juara acara larian 200m sekali gus mencipta rekod baharu dalam acara tersebut dengan catatan masa 23.81 saat berbanding tahun lalu.
Malah, dia juga membantu kuartet 4x400m sekolahnya memenangi emas dengan memadam rekod terdahulu selama 17 tahun.
Selepas beberapa kejayaan diraih, orang ramai berharap pelakon wanita itu diberi gelaran ikon ibu tinggal kerana berjaya membesarkan dua anak sendirian tanpa suami di sisi. – HIBGLAM