Bagai tiada apa-apa yang berlaku, pelakon Ira Kazar tetap ligat mempromosikan produk makanan kesihatan ketika berita perceraian dengan pengarah Syamsul Yusof mula tersebar, petang semalam.
Ira atau nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin yang baru sehari membuat hantaran pertama dalam Instagram selepas hampir setahun ‘berehat’ daripada aplikasi sosial tersebut dilihat ceria dalam video dikongsikan di Insta Story.
Menerusi semakan HibGlam, video produk itu dimuat naik sekitar pukul 3 petang semalam iaitu lebih kurang sejam selepas suaminya memfailkan permohonan perceraian.
Perkara itu disahkan peguam Syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Rais dengan memaklumkan anak guamnya memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pukul 2 petang semalam.
Sebelum ini anak pelakon Kazar Saisi itu sudah lama tidak memuat naik sebarang status dalam Instagramnya, namun pernah berkongsi gambar dengan Syamsul sekitar Jun lalu iaitu selepas suaminya sah bercerai dengan Puteri Sarah Liyana.
Lebih banyak menggunakan TikTok bagi berkongsi masakan, Ira berhenti berbuat demikian sejak Julai lalu yang didakwa sesetengah pihak disebabkan dia sudah berbadan dua.
Begitupun, perkhabaran itu dikatakan hanya desas-desus apabila semalam wanita berusia 24 tahun itu berkongsi gambar menunggang kuda.
Terdahulu, berita permohonan cerai dibuat Syamsul terhadap Ira belum pun setahun berkahwin mengejutkan ramai walaupun akhir tahun lalu spekulasi perpisahan mereka sudah mula tersebar.
Tiada persefahaman menjadi alasan sutradara berusia 40 tahun itu untuk memilih perceraian, berita tersebut disambut dengan tanda tanya termasuk bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam.
Pasangan terbabit bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu yang kemudian disahkan Syamsul sendiri menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram.
Rentetan itu, Puteri Sarah Liyana yang juga isteri Syamsul ketika itu nekad memfailkan perceraian sebelum mereka berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu. – HIBGLAM