Terlalu ramai yang terlibat dalam hal ini, bukan keputusan Rizman Ruzaini 100 peratus”
Demikian kata Rizman Nordin, 40, tentang rekaan baju rasmi kontinjen Malaysia sempena perasmian pembukaan temasya Olimpik Paris 2024 yang menjadi perdebatan netizen.
“Pemilihan tentang rekaan baju tersebut bukan dibuat oleh Rizman Ruzaini sahaja. Banyak pihak yang terlibat. Kami sebagai pereka fesyen cuba buat yang terbaik untuk puaskan hati semua orang.
Kalau ikutkan hati banyak lagi yang kami nak buat. Tetapi macam saya katakan terlalu ramai orang yang terlibat dalam perkara ini, jadi kami tak boleh nak berkarya seorang-seorang.
“Apa yang paling dititikberatkan dalam rekaan pakaian rasmi kontinjen Malaysia adalah baju kebangsaan kita,” katanya ketika ditemui di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), di sini, semalam.
Terdahulu, tular dalam aplikasi X beberapa rekaan lain yang disediakan oleh Rizman Ruzaini antaranya baju Kebaya, Baju Melayu Cekak Musang dan sut.
Kata Rizman, mereka telah menyediakan 10 rekaan untuk dipilih.
“Apa yang anda lihat, itulah yang dipilih. Sebelum diberikan mandat untuk mereka pakaian rasmi kontinjen Malaysia, kami telah buat kajian terlebih dahulu tentang rekaan yang pernah dipakai oleh kontinjen Malaysia untuk edisi Olimpik yang terdahulu.
“Kami ikut apa yang pernah dibuat dulu dan selitkan pembaharuan. Tetapi akhirnya, mereka masih mahu mengekalkan tradisi.
“Pada saya tidak salah kerana Baju Kurung dan Baju Melayu kita memang sudah tersedia cantik.
Mendapat pujian melambung dari orang luar negara , namun di Malaysia rekaan baju tersebut terbahagi kepada dua pendapat, ada yang suka dan ada yang berfikiran sebaliknya.
Malah ada juga netizen yang menyamakan rekaan ‘The Malaya’ dengan koleksi baju raya yang sering dijual Rizman Ruzaini setiap tahun.
Saya tak kisah kalau orang nak kata baju tu macam baju raya. Apa yang paling penting adalah apa yang kami cuba untuk ketengahkan.
“Rizman Ruzaini sentiasa ingin berikan yang terbaik, tetapi kami juga harus ikut kriteria yang telah ditetapkan oleh semua orang terlibat.
“Susah sebenarnya saya nak komen sebab di saat-saat akhir ada benda yang tidak diluluskan. Kalau diikutkan, kita telah sediakan kerongsang bendera Malaysia. Tetapi tidak dapat dikeluarkan kerana ada akta-akta yang tidak membenarkan. Mungkin kami perlu lakukan kajian dengan lebih terperinci,” ujarnya.
Disebalik kritikan dan kecaman yang diterima, Rizman turut meluahkan rasa bangga kerana misi mereka untuk melihat jenama Rizman Ruzaini di Olimpik menjadi kenyataan.
“Pereka fesyen dari seluruh dunia berlumba-lumba untuk buat pakaian kontinjen negara mereka antaranya Ralph Lauren, Armani dan sebagainya. Ini menjadi titik tolak kepada Rizman Ruzaini untuk mereka pakaian kontinjen Malaysia.
“Saya sangat bangga kerana membawa baju kebangsaan kita untuk dipertontonkan kepada satu dunia,” katanya. – HIBGLAM