JIKA ditakdirkan ‘pergi’, sudah tiada ada apa yang saya dikesalkan.”
Itu antara kata-kata penyanyi legenda, Allahyarham Jay Jay dalam sebuah temu bual beberapa bulan sebelum kena serangan jantung disusuli angin ahmar yang akhirnya asbab kepulangan Jay Jay ke negeri abadi.
Akui Jay Jay, berpeluang beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), berkongsi pentas bersama Simfoni Istana Budaya dan menghiburkan peminat diiringi pemuzik orkestra sudah melengkapkan portfolio kerjaya seninya.
Luahan dikongsikan menunjukkan kehidupan seni pemilik nama sebenar Mohd. Fauzi Darus, 67, sudah cukup memberikan kepuasan.
Lebih empat dekad menyerahkan kecintaan sebagai penyanyi, pemuzik dan komposer, semua karyanya menjadi peninggalan ‘rindu bayangan’ (judul lagunya) yang cukup membahagiakan.

SEJAK muda, Jay Jay sebati dengan imej bertopi yang menjadi pelengkap gayanya.
Pelantun Rindu Bayangan yang juga bingkisan malar segar ketika bersama kumpulan Carefree bermula pada tahun 1979 itu nyata tidak terfikir soal berputih mata andai sudah sampai waktu dijemput ajal.
Tiga tahun bersama Carefree sebelum bergerak solo, banyak seleksi bersama band menjadi siulan sehingga ke hari ini termasuk Belaian Jiwa, Kini Baru Ku Sedar, Dendangan Laguku dan Bayangan Tarimu.
Secara solo, kariernya terus berkembang apabila mampu merealisasikan tujuh album yang meraih sambutan hangat. Semua itu barangkali sudah terlalu indah buat Jay Jay.
Sebuah lagu ciptaannya, Joget Angan Tak Sudah, manakala lirik ditulis Keon atau Mohd. Khirin Omar meraih trofi pemenang juara Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu 1998.
Jay Jay turut merangkul gelaran Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 1988 dan Vokal Terbaik Lelaki pada Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun sama.

KEHANGATAN Belaian Jiwa dan Rindu Bayangan sewaktu bersama Carefree menjadi asas kuat pengaruh buat Jay Jay sehinggalah bertaraf legenda dalam industri muzik tanah air.
Bukan hanya sebagai penyanyi, beliau berpengalaman keliling Asia mengiringi persembahan dua penghibur legenda, Datuk Sudirman Haji Arshad dan Anita Sarawak.
Jay Jay mengakui peluang beraksi di pentas antarabangsa selaku pemain bes dua figura tersohor membolehkannya belajar banyak perkara baharu dalam meningkatkan kerjaya.
Baginya, muzik menyuntik aura tersendiri. Dengan muzik, beliau belajar erti profesional untuk bergelar penghibur seperti Sudirman dan Anita.
Jay Jay yang turut mengiringi persembahan Datuk M. Nasir di United Kingdom (1997) juga kerap mengiringi ramai anak seni lain suatu ketika dulu bagi pembikinan album studio, termasuk Datuk Awie.
Sudah terjun ke dunia hiburan yang berada di bawah radar masyarakat, keterbukaannya untuk menjadi pemuzik pengiring tidak ketinggalan meraih kemusykilan segelintir pihak.
Tidak goyah berdepan pandangan sinis segelintir pihak seolah-olah mendakwa merendahkan tarafnya sebagai penyanyi popular, karyawan yang dibesarkan di Kelantan itu tetap rancak sebagai pemuzik iringan biarpun nama sudah berada di puncak.

TERKENAL dengan sikap budiman, Jay Jay disenangi ramai rakan industri dan peminat.
Itulah Jay Jay, baginya tak hilang bisa ular yang menyusur akar, malah pada masa sama beliau turut aktif sebagai penerbit album penyanyi lain termasuk kumpulan Exists.
Kerjaya sebagai pemain bes serta melakukan kerja belakang tabir dianggap turut membuka pelbagai peluang dalam karier selain dapat menambah pendapatan.
Di Pantai Timur juga kecintaan terhadap muzik direalisasikan menerusi pembabitan dengan sebuah kumpulan bernama The Cats awal 1970-an.
Dalam satu temu bual lain, Jay Jay mengakui biarpun bayaran sebagai pemuzik pengiring tidak sebanyak penyanyi, pekerjaan itu memberikan kepuasan tersendiri.
Rendah diri dan tidak peduli pandangan sinis orang sekeliling asalkan beroleh rezeki halal, bapa kepada empat cahaya mata itu sememangnya insan yang disenangi ramai.

KONSERT Satu Suara Vol: 3 bersama Siti Nurhaliza dan Ernie pada Mei tahun lalu menjadi konsert terakhir Jay Jay.
Dalam kalangan pengamal media, Jay Jay seorang personaliti yang sangat menghormati tugasan selain mudah memberikan kerjasama. Panggilan ‘adik’ buat wartawan sememangnya sinonim dengan lelaki bertopi itu.
Namun kini lelaki yang selesa dengan imej bertopi dan berkaca mata hitam itu sudah menyahut panggilan Ilahi pada pukul 9.27 malam tadi.
Tidak berseorangan menutup hayatnya, pemergian Allahyarham yang disifatkan lelaki budiman itu dikelilingi ahli keluarga terdekat, termasuk isterinya Zaitoon Wahid, 61, bersama anak cucu.
Kini segala kesakitan akibat masalah jantung dan serangan angin ahmar yang menimpanya sejak Mei lalu sudah diangkat.
Hilang jasad dimamah bumi, namun bingkisan lagu dan khidmat bakti budi yang ditinggalkan akan terus mengharum buat selama-lamanya.
Kesayuan kehilangan, perjalanan akhir seniman itu cukup dirasai ramai rakan seperjuangan dalam arena muzik.
Sahabat juga sifu muzik, Datuk M. Nasir sendiri menyifatkan Jay Jay seniman genius, idola bahkan heronya ketika mula bertapak dalam dunia muzik.

SEBAGAI penyanyi, komposer dan pemuzik, kemampuan Jay Jay sebagai penerbit di studio dihormati teman-teman sealiran seperti M. Nasir, Ramli Sarip, Hattan dan Zainal Abidin.
Dia insan yang mahir dalam kerjanya, selama 20 tahun, rakaman saya semua menggunakan khidmat beliau bahkan sebelum jadi penyanyi, beliau memang antara hero saya,” katanya.
Seorang lagi teman, Datuk Hattan berkata, sepanjang hayat, belum pernah dia berjumpa insan berpekerti budiman seperti Jay Jay.
Pelantun lagu Rendang Tak Berbuah itu memuja dan mengagumi Jay Jay sebagai penyanyi, pemain bes, komposer, penata muzik serta penerbit album ramai anak seni lain.
Beliau memang baik, saya tak pernah jumpa orang baik macam beliau, sangat baik. Saya memang peminat beliau dari dahulu, masa zaman ‘talentime’ saya nyanyi lagu Carefree sahaja,” ujarnya.
Vokalis Lefhanded, Datuk Nash pula mengakui banyak menyimpan pengalaman manis sepanjang penghasilan tiga album bawah kendalian Jay Jay selaku penerbit.
“Lagu Pada Syurga Di Wajahmu yang juga air tangan Jay Jay. Saya dimarahinya kerana tiada penjiwaan. Dengan bimbingan, saya dapat hayati dan lagu itu hits sampai sekarang,” kata Nash. – HIBGLAM