BIARPUN pada usia 33 tahun, aktres Nadia Brian kelihatan awet muda dan tampak lebih muda daripada usianya yang sebenar.
Kendatipun, kata pemilik nama Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu, bukan mudah untuknya memiliki kecantikan yang dimiliki hari ini.
Proses penjagaan kecantikan diri dan wajahnya telah bermula sejak dia berusia 16 tahun lagi.
Ibu saya bekerja sebagai seorang juru kecantikan. Jadi sejak kecil saya sudah didedahkan dengan dunia kecantikan.
“Kebetulan saya pula mengambil jurusan seni kecantikan sewaktu tingkatan empat, jadi sejak 16 tahun saya sudah memiliki rutin penjagaan wajah yang agak ketat,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual jamu.
Jelas Nadia, kecantikan diri dan wajah tidak akan diperolehi hanya dengan menjaga pemakanan seimbang dan senaman, tetapi turut memerlukan rutin rawatan kecantikan yang konsisten.
“Bukan tunggu sudah berusia baru hendak memulakan rutin penjagaan diri, wajah dan kulit. Tetapi harus dimulakan pada usia yang muda, barulah hasilnya lebih berpanjangan.
Suka atau tidak saya perlu mengeluarkan bajet sekitar RM1,500 sebulan untuk melakukan rawatan kecantikan setiap bulan.
“Tambahan pula, kerja sebagai pelakon adakalanya tidak cukup rehat, jadi saya perlu mendapatkan rawatan kulit wajah,” ujarnya.
Membuka rahsia kecantikannya, kata Nadia, dia memiliki 11 langkah penjagaan kulit wajah yang wajib dilakukan setiap hari.
Berbanding alat solek, Nadia lebih obses untuk memiliki kulit yang sihat dan cantik. Justeru, sesibuk mana pun, dia akan memastikan rutin penjagaan wajahnya tidak terabai.
“Kalau orang yang kenal saya pasti tahu saya sangat obses dengan penjagaan kulit. Jika orang mahu mengambil alat solek saya memang saya tidak kisah.
Tetapi jangan disentuh set penjagaan kulit wajah saya! Saya memiliki beberapa pelembab wajah dan serum yang berbeza mengikut keperluan.
“Selain itu, antara petua lain adalah menggunakan ais pada wajah setiap pagi untuk mengecilkan pori-pori wajah. Tidak perlu keluarkan bajet tetapi hanya perlu kerajinan yang berterusan sahaja,” terangnya.
Sungguhpun tidak menolak untuk melakukan rawatan wajah secara moden, Nadia tetap menolak untuk melakukan rawatan berasas suntikan di wajah.
Melihat bibirnya yang mungil dan tebal, ramai menyangka Nadia melakukan rawatan suntikan pada bahagian tersebut, tetapi hakikatnya sehingga ke hari ini dia tidak memiliki keberanian untuk melakukan rawatan sedemikian.
“Saya tidak suntik sebaliknya hanya menggunakan produk menebalkan bibir segera atau lip plumpers yang dibeli secara dalam talian di TikTok.
Teknik solekan sekarang pun mampu membuatkan bibir tebal tanpa perlu suntik. Sebenarnya memang ada pihak yang ingin memberi tajaan rawatan suntikan dan operasi wajah, tetapi saya tidak berani. Saya lebih menjaga kecantikan kulit wajah.
“Tetapi saya tidak menghalang untuk orang lain melakukan pembedahan atau suntikan kerana itu adalah hak individu,” tuturnya lagi.
Sebagai wanita, satu perkara yang membuatnya terkilan adalah begitu ramai anak muda yang terpengaruh dengan kecantikan palsu dalam media sosial sehingga sanggup melakukan rawatan wajah seperti botoks.
Apa yang ditonjolkan dalam media sosial bukan semuanya betul, kebanyakannya menggunakan filter. Jadi, tolong fikir panjang dan buat kajian sebelum melakukan sebarang rawatan di wajah.
“Saya sedih, orang muda seawal usia 19 tahun sudah melakukan rawatan botoks, walhal pada usia muda kologen masih banyak,” ujarnya yang ditemui pada pelancaran Kireina Wellness Centre di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.