CERITA tentang acara keirin yang disertai Datuk Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nampaknya masih belum berakhir.
Bukan tentang Azizulhasni disingkirkan sebaliknya mengenai individu yang menunggang motor ‘pacer’ pada acara tersebut.
Paling lucu, rata-rata netizen mendakwa wajah ‘pacer’ tersebut mirip pelakon, Zain Saidin!
Tidak berdiam diri, Zain yang menyedari tentang dakwaan netizen itu ‘masuk watak’ dengan mengakui dia merupakan individu yang menunggang motor pada acara keirin tersebut.
“Sebenarnya ketika itu saya nak ‘break emergency’ supaya pelumba Perancis langgar tetapi tiba-tiba Azizulhasni sudah memotong. Memang tak boleh buat apa-apa,” katanya.
Gelagatnya sekali gus membuat ramai tidak kering gusi bahkan, Zain turut memakai helmet bagi membuktikan dia merupakan lelaki ‘pacer’ tersebut.
Perkara itu membuatkan ramai menyifatkan Zain sebagai lelaki yang kelakar dan tidak menyangka boleh melayan komen ‘merapu’ netizen.
“Rupa-rupanya Zain seorang yang kelakar tapi wajahnya memang sama dengan lelaki ‘pacer’ itu.
“Terkejut lelaki ‘pacer’ fasih berbahasa Melayu, rupa-rupanya Zain Saidin. Menjadi dan kelakar parodinya,” komen netizen. – HIBGLAM