‘Kontroversi mematangkan saya’

FIGURA serba boleh bernama Zizan Razak tidak lagi memerlukan pengenalan panjang. 

Kredibiliti aktor itu dalam industri seni tanah air baik dalam arena komedi, lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan sudah diperakui ramai.

Berdepan pelbagai sepak terajang sepanjang bergelar selebriti, Zizan mengakui cara berfikir serta tingkah lakunya kini semakin matang terutama  dalam membuat keputusan.

Pemilik nama lengkap Mohd. Razizan Abdul Razak itu berkata, barangkali situasi itu turut didorong peningkatan usia yang sudah menginjak 40 tahun.

Mengimbas sejak mula menceburi industri hiburan tanah air pada 2007, nama Zizan sentiasa panas dengan pelbagai kontroversi terutama membabitkan kekasih yang didakwa bersilih ganti.

Bagaimanapun, dia tidak pernah ralat dengan gosip kerana menganggap semuanya adalah proses pembelajaran.

“Nama saya tidaklah terlalu bersih, maksud saya ada juga gosip. Tapi, kebanyakan (gosip) dengan teman wanita sahaja. Jadi, bila sudah lama tak bercinta, tiadalah gosip.

“Selain gosip cinta, saya tak tahu kalau ada juga isu lain kerana saya tidak pernah mengkritik atau ‘mengherdik’ gosip yang tercetus.

“Bagi saya, itu boleh diambil sebagai pengajaran untuk saya menjaga diri. Saya doakan yang baik-baik juga untuk mereka dihimpit gosip tak baik,” ujarnya.

Zizan mengakui cara berfikir serta tingkah lakunya kini semakin matang terutama dalam membuat keputusan.

Naib juara program realiti, Raja Lawak musim pertama itu berkata, dia turut optimis berdepan setiap kontroversi yang disifatkan membentuknya menjadi individu lebih matang.

“Tidak pernah terkilan dengan gosip yang bertebaran membabitkan saya dulu. Ketika itu, saya masih muda dan sedang melalui proses pembelajaran dalam hidup.

“Sama seperti bayi baru lahir, mereka tak boleh terus bekerja. Untuk menjadi matang perlu lalui banyak perkara.

“Kalau dulu bila bercinta, memang betul-betul hendak kahwin dan tak kisah kalau orang tahu. Tapi, sekarang kalau betullah saya hendak kahwin, saya fikir selagi tiada persetujuan kedua-dua keluarga, maka tak perlu teruskan.

“Saya cuba fikir seperti itu sekarang ini. Biar betul-betul sahih atau perancangan kukuh barulah boleh teruskan,” katanya kepada Pose.

Mengulas kematangan yang dapat dilihat dalam dirinya, Zizan berkata, dia tidak seperti dulu dan merasakan dirinya sekarang lebih introvert.

“Kalau boleh lepas hadir acara, saya memang mahu terus balik rumah. Itu saya sekarang.

“Kalau ada acara membabitkan orang ramai, saya akan jadi segan sikit.

“Kalau selepas habis acara, saya akan tanya ada laluan belakang atau tidak. Bukan hendak jadi ‘superstar’, tapi saya sudah jadi segan untuk jumpa orang,” katanya seraya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok