HASRAT pengikut setia Cokelat menyaksikan band terkenal Indonesia itu beraksi di Kuala Lumpur pada 7 September depan nampaknya tidak kesampaianya apabila konsert berkenaan dibatalkan.
Perkara itu dimaklumkan penganjur, Tanjak Global Services menerusi kenyataan hari ini.
Dengan rasa berat hati, kami ingin memaklumkan bahawa konsert Cokelat Kembali yang dijadualkan pada 7 September depan di Zepp Kuala Lumpur telah dibatalkan akibat keadaan yang tidak dijangka dan di luar kawalan kami.
“Kami memahami betapa mengecewakannya berita ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul.
Semua pemegang tiket akan menerima bayaran balik penuh melalui Ubertickets menggunakan kaedah pembayaran asal mereka,” katanya.
Tambah penganjur, pembatalan konsert tersebut merupakan kata sepakat yang dibuat bersama kumpulan Cokelat.
“Keputusan ini dibuat bersama dengan band Cokelat yang telah dimaklumkan secara rasmi.
Kami akan memastikan bahawa pembeli tiket menerima maklumat yang sesuai mengenai proses bayaran balik mereka,” jelasnya.
Untuk info, kumpulan asal Bandung, Indonesia itu dianggotai Kikan selaku vokalis, Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram).
Kali terakhir band Cokelat membuat persembahan di Kuala Lumpur adalah 14 tahun lalu.
Antara lagu-lagu popular mereka adalah Karma, Segitiga, Luka Lama, Ku Pilih Dia, Pergi dan Jauh. – HIBGLAM