BERGELAR seorang bapa pastinya menjadi impian setiap lelaki, namun cabaran di sebaliknya hanya yang pernah merasai sahaja mampu mengungkapnya.
Begitu jua yang dirasai Kamal Adli selepas bergelar bapa kepada permata hatinya, Hawra Uqaira.
Aktor itu mengakui menggalas status bapa satu tanggungjawab besar dan dia bersyukur dengan kehadiran puteri tercinta.
Ikuti temu bual HibGlam bersama suami pelakon jelita, Uqasha Senrose yang berkongsi pengalamannya sebagai bapa dan juga Komando VAT69 dalam filem terbaharunya, Takluk: Lahad Datu.
HIBGLAM: Menjadi seorang bapa bukan satu tanggungjawab mudah, mungkin Kamal boleh kongsi pengalaman tersebut.
KAMAL ADLI: Ya, memang mencabar tetapi dalam masa sama seronok jadi bapa.
Bulan pertama memang mencabar menjaga Hawra dan saya pula ‘bertugas’ tidurkan anak. Sampai perlu ‘squat’ untuk tidurkan dia.
Sebelum ini ada selebriti yang sanggup meninggalkan kerja berbulan-bulan lamanya untuk memberi fokus terhadap anak, adakah anda juga begitu?
Memang saya ambil keputusan berehat selama tiga bulan untuk sama-sama membantu Uqasha menjaga Hawra.
Sepanjang tempoh itu, saya mahu Hawra kenal saya selain ‘membayar’ semula momen beberapa bulan berjauhan dengan isteri untuk penggambaran Takluk: Lahad Datu.
Kini, Hawra berusia tiga bulan dan dia sudah kenal saya selain mula bijak memberi reaksi seperti ketawa. Memang seronok main dengan dia sekarang.
Bercerita tentang kerjaya, apakah cabaran terbesar untuk naskhah Takluk: Lahad Datu ini?
Sebelum jayakan watak ini, kami dihantar ke Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di Ulu Kinta untuk menjalani latihan sebagai Komando (VAT69) selama lima hari.
Latihan pada hari pertama pun sudah teruk. Memang rasa seperti komando sebenar!’
Adakah anda dilayan sebagai selebriti sepanjang menjalani latihan di sana?
Sepanjang tempoh latihan, memang kami tinggalkan status sebagai selebriti.
Pergi ke sana dengan niat nak berlatih dan merasai pengalaman menjadi VAT69 termasuk pegang senapang sebenar selain membentuk disiplin diri.
Rupa saya sepanjang lima hari memang teruk, badan pun lunyai tapi pengalaman itu sangat berharga.
Bagaimana pula dengan pengalaman menjayakan sebuah naskhah yang mengangkat kisah benar di Sabah?
Sepanjang penggambaran, pasukan sebenar VAT69 ada bersama kami.
Mereka banyak kongsi tentang kejadian dan situasi sebenar ‘perang moden’ di Lahad Datu sebelum ini. Memang rasa kagum dan dalam masa sama sebak dengan pengorbanan mereka untuk negara.
Terlibat dengan filem ini membuka mata saya tentang pengorbanan petugas barisan hadapan, sangat mencabar.
Alhamdulillah, pelakon yang terlibat dalam karya ini juga sangat hebat dan menyeronokkan seperti Eman Manan, Syafiq Kyle, Anding Indrawani dan Fikry Ibrahim. – HIBGLAM