PENYANYI dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir menyifatkan Allahyarham Jay Jay sebagai idola dan heronya ketika mula bertapak dalam dunia muzik.
Ujar M. Nasir, bakat yang dimiliki Allahyarham sangat luar biasa sekali gus pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air.
Dia insan yang mahir dalam kerjanya, rakaman saya semua menggunakan khidmat beliau selama 20 tahun. Saya hargai bakat seninya.
“Sebelum jadi penyanyi, beliau memang antara hero saya dalam bidang muzik, kemahirannya sungguh luar biasa. Banyak kali saya menonton persembahannya secara langsung di Singapura dulu.
Saya antara peminat Jay Jay yang setia menanti seawal beliau masuk pintu sehingga menamatkan persembahan,” katanya kepada HibGlam
Pelantun lagu Emas itu turut mengakui mengagumi bakat hebat Allahyarham yang sentiasa membumi dan menghormati orang lain.
“Dia mempunyai penampilan tersendiri, tiada duanya. Bagi saya, dia antara penyanyi lelaki paling menarik.
Dia punyai pakej lengkap, kemahiran dalam nyanyian dan genius dalam muzik serta hanyak menyumbangkan suara dalam bidang pengiklanan.
“Tahun 80-an dahulu pun kebanyakan iklan pakai suara dia. Pendek kata dia memang berbakat,” ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham Jay Jay selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Subang Jaya, di sini, pada jam 11.15 pagi tadi.
Kira-kira 200 ahli keluaga, saudara mara serta kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir.
Antaranya ialah penyanyi Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk DJ Dave, Datuk Nash, Ruhil Amani, Ramlah Ram dan ramai lagi.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Jay Jay diurus dan disolatkan di Masjid Al Husna, Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Allahyarham Jay Jay, 77, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 9.27 malam tadi. – HIBGLAM