DATUK Yusof Haslam menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia dan isteri, Datin Patimah Ismail gembira apabila mendapat tahu berita perceraian anaknya, Syamsul dengan Ira Kazar.
Yusof, 70, berkata, sebagai orang tua dia sekeluarga mendoakan yang terbaik buat kedua-dua belah pihak.
“Saya tidak mahu komen mengenai itu. Sebagai mak ayah saya doakan yang terbaik buat anak.
Khalayak jangan salah faham mengatakan kami sekeluarga gembira mendengar berita itu (perceraian). Saya percaya setiap apa yang berlaku ada sebab mengapa Allah tentukan.
“Sejujurnya saya dan isteri terkejut mendengar berita perceraian itu,” katanya ketika ditemui di majlis Sidang Media Festival Filem Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Yusof memaklumkan dia tidak menyimpan harapan Puteri Sarah Liyana kembali bergelar isteri kepada Syamsul.
Katanya, dia hanya mengharapkan yang terbaik dan mendoakan yang baik untuk semua pihak.
Saya tak boleh komen tentang itu. Ini semua ketentuan Allah. Saya reda.
“Semalam Puteri Sarah ada datang berjumpa saya dan isteri. Reda sahaja.
Saya tak boleh kata mahu Sarah balik ke pangkuan Syamsul atau sebaliknya. Itu bukan urusan kita. Yang menentukan kehidupan mereka adalah mereka sendiri. Biar mereka tentukan.
“Saya cuma mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk semua pihak,” katanya.
Semalam nama Syamsul hangat diperkatakan selepas memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Isnin.
Perceraian itu dikatakan berlaku disebabkan tiada kesefahaman.
Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka dioerkatakan sejak Oktober tahun lalu, namun kedua-duanya menafikan perkara itu.
Terdahulu, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu. – HIBGLAM