ENGGAN lebih ramai menjadi mangsa ajaran sesat Millah Abraham, pelakon Pablo Amirul berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mencari Tuhan.
Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd. Sakri, 39, yang pernah menganuti ajaran Millah Abraham selama dua tahun kerana mengikut kekasihnya akhirnya tersedar dan membuat pendedahan mengenai ajaran sesat tersebut dalam Instagramnya baru-baru ini.
“Saya mengikuti dan percaya akan ajaran itu kerana cinta. Selepas tersedar baru saya tahu apa yang dilakukan itu adalah salah.
Sebab cinta saya menjual akidah, satu perkara yang tidak patut saya lakukan. Orang di luar sana senanglah cakap kerana tidak terkena batang hidung mereka sendiri.
“Asbab Allah pilih saya untuk mengalami, menjalani dan mendedahkan perkara ini kepada orang ramai. Jadikan apa yang saya lalui sebagai sempadan dan tauladan” kata Pablo.
Tambah Pablo, dia bersyukur pendedahannya itu telah membuka mata banyak pihak tentang ajaran sesat berkenaan.
Biarpun dilihat seolah-olah menjadi ‘kambing hitam’ Pablo tidak kisah demi menyelamatkan lebih ramai orang daripada terperangkap dengan ajaran sesat Millah Abraham.
“Jika pendedahan saya membongkar kebenaran dan menyebabkan pelbagai pihak terpanggil untuk mengkaji permasalahan ini baguslah.
Saya hanya lakukan untuk membantu ummah dan mempertahankan agama kita. Kalau apa yang saya lakukan beri ancaman kepada pihak di sana (ajaran sesat) saya tidak boleh lakukan apa-apa.
“Saya telah selesaikan dengan pihak polis dan buat masa ini saya terikat dengan peguam. Selagi saya tidak ke depan, tidak dihadapkan ke mahkamah dan tidak dikenakan tindakan saya perlu menutup mulut,” ujar Pablo.
Pablo yang kini telah kembali ke agama Islam berkongsi kesilapannya adalah tidak merujuk terlebih dahulu golongan arif dalam bidang agama ketika mencari Tuhan.
Oleh itu, dia berharap orang ramai berhati-hati kerana ajaran sesat seperti Millah Abraham dan fahaman lain masih berleluasa di luar sana.
Saya telah melalui kedua-duanya (ajaran sesat dan agama Islam), sekarang apa yang saya nampak kebenarannya adalah agama Islam yang diajar kepada kita. Saya kembali melakukan solat lima waktu.
“Tetapi saya tidak menolak bahawa fahaman sesat sebegini masih berleluasa di luar sana. Berhati-hati dalam mencari jalan mengenal Tuhan kerana terlalu banyak penunggangnya,” kata Pablo.
Ajaran Millah Abraham atau Millah Ibrahim itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Beralih perkembangan terkini, Pablo membintangi filem baharu berjudul Housekeeping? yang akan bersiaran di laman penstriman Prime Video bermula 5 September ini.
Selain Pablo, filem aksi komedi arahan Zahir Omar itu turut dibintangi Alif Satar, Sharifah Sakinah, Fabian Loo, Khir Rahman, Didie Alias, Ropie Cecupak, Maria Farida, Angeline Tan, Radhi Khalid, Sabrina Ali dan Joanne Kam. – HIBGLAM
View this post on Instagram