MINGGU Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2024 telah pun melabuhkan tirainya semalam selepas seminggu berkampung di perkarangan Menara Berkembar Petronas KLCC.
Sepanjang tujuh hari acara berlangsung, banyak gaya menarik selebriti tempatan yang dapat dilihat mewarnai acara yang berlangsung setahun sekali itu.
Ada yang seksi, ada sopan dan ada juga unik. Kesemuanya menarik perhatian sehingga tular dalam media sosial.
HibGlam senarai lima gaya selebriti paling unik dan menarik di KLFW 2024.
Sharifah Sakinah
Aktres bertubuh cantik ini hadir ke pertunjukan fesyen Behati memakai baju daripada pereka yang sama bertemakan Jalur Gemilang.
Paling menarik perhatian adalah air sirap bungkus yang dibawanya sebagai aksesori. Sangat ‘cool’ dan unik.
Datuk Seri Vida
Usahawan sensasi ini cuba lari dari kebiasaan dengan memilih gaya hitam gothic ke pertunjukan fesyen jenama ABU. Datuk Seri Vida (DSV) menggayakan gaun hitam mengikut potongan badan dan bersolek garang dengan gincu rona serupa. Beg tangan warna metalik dan rantai labuh melengkapkan gayanya.
Pada pertunjukan jenama Behati pula, DSV muncul sebagai ‘muse’ dengan memakai busana rekaan Behati yang didedikasikan kepada Palestin. Wajah disolek bak tembikai lambang solidariti.
Idris Khan
Pelakon sensasi ini hadir ke pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini dengan memakai sut tanpa lengan rona jingga.
Apa yang menarik perhatian adalah padanan kain keffiyeh tanda solidariti terhadap Palestin. Unik dan bergaya!
Mira Filzah
Jarang sekali lihat pelakon manis ini tampil dalam gaya maskulin. Kali ini demi menyokong teman yang juga birasnya, Shalma Aina, Mira Filzah hadir ke pertunjukan fesyen jenama Shals memakai sut putih longgar sekali gus mempamerkan sisi versatil Mira dalam berfesyen.
Gaya beraninya kali ini mendapat pujian ramai rakan artis dan pengikut setianya dalam media sosial.
Nia Atasha
Pelakon dan peragawati seksi ini hadir ke pertunjukan fesyen Alia Bastamam dengan menggayakan gaun rona terbelah di bahagian paha daripada pereka yang sama.
‘Highlight’ rambut perang muda menyerlahkan lagi penampilan Nia sehingga menjadi perhatian ramai tatkala melangkah masuk ke ruang peragaan. – HIBGLAM