MEMILIH Malaysia sebagai hab video kesan visual khas (VFX) di rantau Asia, Enigma Studio selesa beroperasi di Malaysia berikutan ramai pakar selain bakat muda berpotensi dan sokongan kerajaan.
Gabungan antara pengarah kesan khas dari Hollywood, Jae Cheol-hong dengan penerbit tempatan, Joanne Goh, syarikat terbabit menawarkan kepakaran VFX meliputi Virtual Reality (VR), Augmented Reality (AR), Metaverse dan Kecerdasan Buatan (AI).
Jae yang berpengalaman lebih 25 tahun bekerja dengan pelbagai rumah produk gergasi di Amerika Syarikat termasuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal Digital Creature di bawah George Lucas Company yakin terhadap potensi Malaysia.
Kata pakar visual berdarah Korea Selatan itu, berbanding negara jiran termasuk Thailand dan Indonesia, banyak elemen sokongan yang membuatkannya memilih untuk berpangkalan di sini.
“Kerja saya di Hollywood tetapi jiwa Asia saya masih tebal membuatkan saya kerap berkunjung ke rantau ini sekali gus mencari ruang untuk berkongsi ilmu seni kesan visual yang mempunyai banyak cabang.
“Enigma Studio bukan sekadar menyediakan perkhidmatan untuk ‘menghidupkan’ lagi sesebuah naskhah di pawagam malah membuka pintu untuk pakar tempatan bekerja dengan kami.
“Apabila bertemu Joanne yang turut mempunyai misi sama, kami sepakat menggembeleng tenaga merealisasikan Enigma Studio, apatah lagi usaha sebegini turut dialu-alukan kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, Jae yang turut terbabit dalam produksi blockbuster Iron Man, Star Wars Episode 3, Transformers serta francais filemPirates of the Caribbean dan Harry Potter juga mempunyai perancangan mengadakan master class atau bengkel.
Gilap pakar lokal
Ujarnya, perkongsian pengalaman serta idea dengan bakat baharu yang berminat mendalami VFX, kesan khas, animasi, konten VR dan pembangunan teknologi dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir.
“Enigma Studio ditunjangi beberapa pakar Hollywood tetapi kita tidak melupakan antara agenda utama iaitu menggilap lebih ramai pakar kesan khas yang berpotensi diketengahkan demi memenuhi keperluan industri perfileman.
“Mereka tentu sahaja dapat belajar lebih banyak perkara berkaitan teknologi VFX, seterusnya berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan produksi antarabangsa,” ujarnya.
Pada masa sama, Jae juga ingin berkongsi pengalaman sebagai Pengarah Teknikal Karakter di Walt Disney Animation menerusi beberapa sesi bengkel.
Sementara itu, Goh yang menceburi industri perfileman tempatan sejak 1997 teruja apabila kerjasama dinamik itu dapat mengetengahkan Malaysia selaku destinasi tumpuan pembikin filem global.
Pengasas Malaysia International Film Festival (MIFFest) dan Malaysia Golden Global Award itu yakin dengan kebolehan tenaga kreatif tempatan dapat memenuhi permintaan syarikat produksi antarabangsa menghasilkan VFX terbaik untuk filem mereka.
Angkat nama Malaysia
“Kami berbesar hati dengan sokongan padu kerajaan yang memberi galakan kepada sektor seni khususnya perfileman untuk berkembang sekali gus menawarkan kepakaran kepada produksi luar.
“Kita juga patut berbangga dengan potensi tenaga kreatif tempatan yang mempunyai kepakaran dalam teknologi kesan khas setanding luar negara.
“Menerusi sokongan ini, Enigma Studio yakin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyedia kesan khas di rantau ini,” ujarnya.
Berpengalaman luas dalam penerbitan filem menerusi Jazzy Pictures Sdn. Bhd., produser Crossroads: One Two Jaga itu juga yakin usaha strategik terbabit turut mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Negara ini bukan hanya mempunyai pelbagai destinasi menarik yang pernah dipaparkan dalam filem blockbuster antarabangsa tetapi juga mampu berdiri sebagai pangkalan hab VFX yang berkredibiliti,” kongsinya.