Sarat suspens, Alien: Romulus kembalikan DNA Alien

KALAU  ada satu pernyataan menggambarkan betapa berbaloinya kunjungan penulis ke pawagam menonton filem Alien: Romulus, jawapannya adalah karya garapan Fede Álvarez kali ini umpamanya tidak membazirkan waima sesen pun wang yang dilabur.

Alien: Romulus membawa penonton semula ke era filem Alien awal-awal dahulu yang mempunyai naratif cemerlang, terjemahan karakter membekas, alien atau makhluk asing yang menjadi igauan sampai ke malam.

Berdurasi 1 jam 59 minit, Alien: Romulus terkandung jalan cerita yang cukup ampuh walaupun pada mulanya ada sedikit slow-burner. Namun, selepas naratif alien itu dipamerkan kepada audiens, segala-galanya berubah.

Buat penulis secara peribadi, Alien: Romulus adalah sebuah filem yang paling membuat diri tak cukup nafas dan terkemut-kemut di panggung wayang disebabkan unsur suspens yang dibentangkan.

Watak utama bernama Rain yang dijayakan cemerlang oleh aktres, Cailee Spaeny.

Kalau tidak keterlaluan, rasa macam ada elemen filem Don’t Breathe dalam Alien: Romulus yang membuatkan penonton tak senang duduk sepanjang perjalanan filem.

Babak ketika pemain atau watak utama, Rain (lakonan Cailee Spaeny) dan manusia android bernama Andy ketika berdepan dengan xenomorph merupakan antara highlight terpenting dalam filem ini.

Ketika semuanya seperti jalan buntu, Rain menggunakan segala keringat dan kudrat yang ada untuk menewaskan xenomorph namun pada masa sama, dia perlu sentiasa berjaga-jaga kerana darah alien sangat berasid dan mampu meranapkan keseluruhan kapal angkasa.

Hats off buat Cailee yang berjaya menterjemahkan watak Rain dengan sempurna. Entah mengapa, melihat Cailee beraksi dalam Alien: Romulus membuatkan penulis teringat akan pesona Jeniffer Lawrence. Cantik dan faham tugasan sebagai teraju utama dalam filem.

Walaupun permulaan cerita agak perlahan, Alien: Romulus berjaya memacu fokus audiens selepas 20 minit filem dibentangkan kepada penonton.

Dalam pada itu, watak Andy yang dijayakan David Jonssons juga tidak langsung mengecewakan. Pelakon kulit hitam itu berjaya menghidupkan karakter orang paling kanan buat Rain.

Di mana-mana dan tak kira apa jua keadaan, Andy sentiasa berkhidmat untuk seorang wanita iaitu Rain dan itu dilunaskan tanpa secebis rasa sangsi walaupun dirinya bukanlah manusia ‘tulen’ seperti orang lain.

Dari segi teknikal, penulis sangat kagum dengan sinematografi, kesan khas (VFX) dan skor yang diadun dalam filem ini.

Keseluruhan latar tempat adalah di angkasa lepas dan semestinya, VFX yang cemerlang dicernakan untuk urusan tersebut.

SARAT elemen suspens, filem ini akan buat penonton tidak senang duduk sepanjang tayangan.

Sebagai antara penggemar francais filem Alien, karya kali ini memberi homage atau keadilan buat filem-filem terdahulu (terutama yang paling awal).

Sebagai bukti, watak Rook, saintis android yang ‘terbengkalai’ dalam kapal Romulus disuarakan oleh Daniel Betts. Fizikalnya diterjemahkan serupa seperti mendiang Ian Holm.

Secara keseluruhannya, buat kalian yang rindukan DNA filem Alien yang awal-awal dahulu, Alien: Romulus adalah jawapannya! Markah cemerlang tertinggi buat filem ini! – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok