NAMA penyanyi Sharifah Zarina mendunia ketika lagu Langit Ketujuh mengisi setiap carta muzik stesen-stesen radio sekitar 2005.
Biarpun sudah hampir 20 tahun berlalu, namun karya ciptaan Marsya dan Master G tersebut tetap menjadi siulan sehingga ke hari ini.
Kali terakhir Zarina atau nama lengkapnya Sharifah Zarina Wan Hassan, 43, muncul dengan single baharu, Pernah Bahagia sekitar 2019.
Kemudian, dia boleh dikatakan hilang daripada radar industri sebelum kembali dengan buah tangan baharu bertajuk, 40.

KALI terakhir mempunyai lagu baharu pada 2019, Sharifah Zarina kembali dengan sebuah single bernuansa matang berjudul 40.
“40 adalah sebuah lagu yang mewakili mereka yang berada dalam lingkungan umur 40-an dengan mesej usia 40 masih muda.
Pesan yang terkandung di dalam lagu ini bukanlah sekadar rekaan, tetapi representasi yang jujur dan menyentuh buat individu yang telah memasuki dekad keempat kehidupan mereka.
“Menegaskan bahawa usia hanyalah angka dan semangatlah yang sebenarnya menentukan bagaimana kita menghayati kehidupan,” katanya.
Lagu 40 nyanyian anak kelahiran Kuching, Sarawak itu merupakan ciptaan Fahimi, Glowrush, Eugene Lai dan Mal Hamka.
Mengetengahkan rentak yang penuh bertenaga, lagu tersebut menggambarkan perjalanan hidup dan pengalaman yang mendalam seseorang yang melewati usia 40-an.
“Berbekalkan ritma yang rancak, melodi lagu ini menemani setiap langkah perjalanan menuju kematangan diri, memberikan dorongan positif dan semangat buat pendengar.
Dengan melodi yang mampu membahagiakan dan lirik penuh inspirasi, lagu 40 membawa makna yang mendalam dan berbeza bagi setiap individu.
“Lagu ini juga cuba mendorong kita memandang usia 40-an sebagai permulaan sebuah petualangan yang baharu yang menggembirakan,” katanya.

BAGI Sharifah Zarina, lagu 40 mempertaruhkan mesej positif bagi golongan usia 40-an agar menjalani kehidupan dengan penuh semangat.
Zarina turut melihat ‘kekosongan’ lagu-lagu menggambarkan kelompok usia 40-an dalam TikTok sebagai peluang untuk menjadikan single kali ini lebih menyerlah.
Saya percaya garapan lagu ini tidak hanya fokus pada penciptaan lagu yang menarik dan enak didengar, tetapi juga berusaha menyampaikan pesan positif serta semangat kreativiti kepada pendengar.
“Dari situlah muncul sebuah lagu yang tidak hanya menjadi ciptaan muzik, melainkan juga menjadi sebuah kenyataan penuh makna mengenai keinginan untuk memberikan sesuatu yang berharga dan bermakna kepada komuniti TikTok,” katanya. – HIBGLAM