BIMBANG berdepan risiko, penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari menolak untuk hamil lagi.
Bukan sengaja berbuat demikian, Bunga atau BCL sebaliknya mengambil kira faktor usianya yang kini sudah mencecah 41 tahun dan dirasakan kurang sesuai untuk menimang cahaya mata.
“Ramai kata saya nampak ‘baby bump tapi tidak pun, sebenarnya itu memang bentuk badan saya. Sehingga ke hari ini saya ingin beritahu, saya tidak berniat untuk memiliki anak lagi.
Noah (anak sulung) pun sudah meningkat remaja dan saya sudah berusia 41 tahun. Jadi dengan usia begitu saya rasa sedikit berisiko sekiranya hamil lagi.
“Saya ingin mengurangkan segala risiko supaya saya boleh hidup lebih lama dengan Noah,” katanya usai konsert minggu pertama Gimme The Mic Malaysia, malam tadi.
Pun begitu, pelantun lagu Cinta Sejati itu tidak menolak rezeki Allah sekiranya dikurniakan zuriat namun dalam masa sama enggan merancang.
Paling penting kata Bunga, dia gembira menjalani hidup bersama satu-satunya anak tunggalnya serta suami tercinta, Tiko Aryawardhana.
“Saya perlu akur tiada siapa yang tahu dengan takdir Allah. Tiada siapa yang boleh menolak takdir-Nya.
Kita perlu jalani hidup ini dengan sebaik-baiknya, saya dan keluarga gembira dengan kehidupan kami.
“Saya juga sudah berusia 41 tahun, jadi yang lebih utama adalah untuk memastikan hari demi hari adalah sentiasa indah,” ujarnya.
Bunga dan Tiko mendirikan rumah tangga pada 2 Disember tahun lalu di sebuah resort mewah di Bali, Indonesia.
Terdahulu, Bunga pernah berkahwin dengan selebriti asal Malaysia, Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Noah Aidan Sinclair.
Jodoh tidak panjang, Allahyarham Ashraf meninggal dunia pada Februari 2020 ketika tidur akibat serangan jantung.
Tiko juga sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki tiga zuriat. – HIBGLAM
View this post on Instagram