KONTROVERSI kisah khalwat penyanyi Aliff Aziz dan pelakon Ruhainies sejak empat bulan lalu akhirnya sampai ke kemuncak apabila apabila kedua-dua selebriti itu didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas kesalahan berkhalwat.
Bagaimanapun Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondomonium di Bukit Bintang di sini pukul 12.35 pagi pada 9 Mac lalu.
Justeru pertuduhan terhadap mereka didakwa masing-masing dikemukakan mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, ketika pertuduhan dibacakan kedua-duanya tenang berada dalam kandang tertuduh. Selepas ditanya oleh Hakim Syarie kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Hakim Syarie: Faham pertuduhan (Aliff)?
Aliff: Faham mengaku tidak bersalah.
Sementara itu ketika dibacakan pertuduhan terhadap Ruhainies, wanita itu juga membuat pengakuan sama.
Hakim Syarie: Faham pertuduhan (Ruhainies)?
Ruhainies: Faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan pendakwa syarie Masroha Duki dan Mohd. Nahar Mohamad dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) manakala Aliff dan Ruhainies diwakili peguam Abdul Hadi Mohamad Salleh dan Muhammad Amirul Ashraf A.Ghani.
Hakim Syarie Abu Suffian kemudian menetapkan 17 Oktober ini bagi sebutan semula kes dengan bon jaminan RM1,500 dilanjutkan yang telah dibayar sebelum ini.
Sebelum ini kisah khalwat mereka hangat diperkatakan apabila pelakon Ruhainies mengesahkan dia dan Aliff Aziz diserbu oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Polis Diraja Malaysia di kediamannya di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Ruhainies, dalam satu kenyataan berkata, keberadaan Aliff Aziz di dalam rumahnya adalah bertujuan untuk bertemu dengan ahli keluarganya yang dikenali aktor itu sejak 10 tahun lalu.
Ujarnya, kakaknya, Risteena Munim juga antara individu yang menjadi saksi kerana berada di lokasi ketika tangkapan khalwat tersebut berlaku.
Pada masa sama, Ruhainies turut mengakui kekhilafannya di sisi agama, kerana berada dalam situasi tersebut sekaligus menimbulkan syak wasangka negatif yang sepatutnya dapat dielakkan.
Pada 13 Jun lalu, Aliff dan isterinya Bella Astillah sah bercerai talak satu kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Aliff melafazkan talak itu di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Bella selaku plaintif mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – HIBGLAM