BERI ruang untuk saya bernafas.”
Demikian permintaan pelakon cantik Nora Danish yang berharap orang ramai memberinya ruang untuk bertenang apabila dirinya menjadi bualan hangat sejak melalui episod perceraian dengan Nedim Nazri pada pertengahan Jun lalu.
Kata pemilik nama lengkap Nora Danish Hanif, 42, banyak dakwaan tidak benar mengenai dirinya bertebaran dalam media sosial.
Sejak akhir-akhir ini pelbagai berita yang tidak sahih tentang saya menjadi tatapan umum.
“Harap dapat beri ruang untuk saya dan keluarga bernafas,” katanya menerusi hantaran InstaStory.
Dalam masa sama, pelakon filem Polis Evo 3 itu berharap orang ramai tidak mengambil kesempatan ke atas dirinya dengan menyebarkan sebarang spekulasi tidak benar.
Pada yang segelintir, diharap janganlah sebarkan berita yang tidak betul sampai menjadi fitnah okey,” ujarnya.
Selain itu, Nora turut berterima kasih atas kebaikan orang ramai yang sanggup mendoakan dan mengambil berat dengan nasib dirinya.
Terima kasih atas keprihatinan anda dan sentiasa mendoakan yang terbaik,” jelasnya.
Terdahulu, Nora dan bekas suaminya Nedim Nazri bercerai pada 19 Jun lalu susulan pendedahan aktres tersebut berkenaan rumah tangga yang dibina sejak 2017 sedang bergolak.
Namun, aktres itu memaklumkan bahawa dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani situasi yang berlaku dengan sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.
Sebelum Nedim, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.– HIBGLAM