Tentunya impian saya nak pegang watak utama – Jay Iswazir

TEMPOH 14 tahun bergelumang dalam industri hiburan dengan menggalas tanggungjawab membawa pelbagai watak menerusi dereten genre drama, semua itu tidak pernah menjadikan aktor berkarakter,  Jay Iswazir sebagai aktor berhidung tinggi.

Tidak berlebihan jika dikatakan, pemilik nama lengkap  Ahmad Iswazir Ismail itu tidak pernah gagal meninggalkan impak dalam setiap naskhah yang disua kepadanya.

Kendatipun bakat dan kualiti lakonannya terbang sama tinggi dengan pelakon senior lain, Jay tetap menyambut baik kehadiran lambakan bakat baharu yang hadir mewarnai dunia seni tanah air. 

Sedar ada antara pendatang baharu yang terus melonjak popular biarpun tiada latar belakang lakonan, lelaki berusia 42 tahun itu enggan berdengki sebaliknya terus positif selain sentiasa memperbaiki diri.

“Saya percayakan rezeki dan sentiasa beringat agar tidak berada dalam zon selesa kerana sekarang kita dah berada dalam satu fasa yang permainannya berbeza.

“Contohnya, bakat baharu seperti pempengaruh dan tiada pengalaman, tapi ada ‘content’ menarik dan orang suka. Saya kena gilap apa yang kurang pada diri saya supaya ada bukti untuk orang tawarkan sesuatu peranan kepada saya.

“Tentunya impian saya nak jadi pelakon utama. Pernah ada, tapi yang serius betul-betul, belum ada,” katanya kepada Pose.

Bersikap realistik dan logik, pelakon drama Polis Peronda itu akur dengan segala perubahan keadaan, sekali gus mengakui bahawa perlu ada keseimbangan antara seni dan bisnes dalam penghasilan karya untuk layar perak.

“Saya ambil benda positif. Kalaulah pempengaruh atau mereka yang tidak ada latar belakang lakonan ini boleh naik, kita kena kaji.

“Bercakap mengenai filem, kita tak boleh lari daripada perniagaan. Saya tak tolak seni, tapi kena seimbangkan juga antara perkara itu.

“Pada akhirnya siapa yang berniaga mahu rugi kan? Kena fikir secara logik dan realistik,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 itu sedang sibuk dengan filem seram berjudul Dajal: Satu Malam Diperdajal bawah arahan, Pierre Andre.

Berkongsi pengalaman bekerja kali kedua bawah arahan Pierre, Jay bersyukur kerana wujud keserasian antara mereka.

“Kali kedua bekerjasama dengan Pierre membuat saya teruja. Saya rasa, dia yang mengutarakan nama-nama pelakon kepada David Teo. Maknanya, kerjasama pertama kami itu sudah serasi.

“Sebagai pelakon, saya ada idea juga dan dia suka pelakon yang begitu. Gabungan idea yang memantapkan dan membuatkan hasil itu kemas, menarik perhatian dia,” katanya.

Menggalas watak Adam, Jay turut bercerita mengenai rujukannya dalam menjayakan peranan tersebut selain kagum dengan kegeniusan Pierre dalam membawa identiti ‘lokal’ dalam naskah arahannya.

“Saya boleh katakan filem ini ada identiti sendiri dan Pierre  menyuntik nafas serta elemen baharu dalam filem seram di Malaysia.

“Kisah mengenai satu kumpulan yang bermain dengan benda-benda menyeramkan dan bersifat iblis. Dalam filem ini, kemunculan saya tak banyak.

“Tidak ditonjolkan secara jelas siapa Adam ini sebenarnya. Cuma, ada bayangan yang menyatakan sebenarnya, benda di rumah itu berkaitan satu organisasi yang mengumpul sekumpulan ‘penganut’.

“Memang sarat plot twist dan satu naskhah yang mempunyai nilai seni yang berat namun tidak kompleks untuk difahami,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok