TERUK dikecam selepas hadir ke mahkamah dengan senyuman lebar bagai tiada rasa bersalah, pelakon Ruhainies menyangkal dakwaan tidak sensitif sebaliknya mengakui gembira kerana akhirnya dapat bertemu media.
Ujar Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, dia tidak pandai berlakon sekali gus enggan menitiskan air mata depan kamera semata-mata hendak menunjuk-nunjuk.
Saya senyum sebab nampak rakan-rakan media dekat sini, saya teruja setelah sekian lama tak berjumpa kalin semua.
“Saya bersyukur sebab kalian sudi datang pada awal pagi untuk mengikuti prosiding hari ini.
Mengenai dakwaan tidak sensitif, takkan saya nak menangis pula, saya tak pandai berlakon, tak pandai menangis depan kamera,” katanya kepada HibGlam usai perbicaraan kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persetukutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya sama ada datang bersama dengan pelantun lagu Sayang Sayang itu apabila dilihat jalan seiringan menuju perkarangan mahkamah, Ruhainies menggelengkan kepala.
Eh! kami bukan datang bersama.
“Kami datang asing cuma waktu tiba di mahkamah sahaja sama dan kami parkir kereta secara berdekatan,” ujarnya.
Hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan hakim atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Terdahulu pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Kehadiran mereka berdua dipercayai atas tujuan lanjutan bon jamin berkenaan kes tangkap khalwat pada Mac lalu.
Pada 9 Mac lalu, nama Ruhanies menjadi bualan hangat selepas dia dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. – HIBGLAM