KOMEN mak cik bawang buat saya malas nak buat konten masak-masak.”
Demikian luahan terkilan selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa yang mengakui komen negatif yang ditinggalkan segelintir netizen mengenai resipi makanan untuk anaknya membuatkan dirinya malas memuat naik konten berkaitan masakan dalam media sosial.
Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, 35, berkata, kebanyakan komen yang dilemparkan terhadapnya adalah berkaitan bahan yang digunakan dalam masakan kerana didakwa tidak sesuai dimakan anak kecil.
Baru sahaja muat naik video memasak begini. Macam-macam komen tentang madu, sirap mapel, mentega dan banyaklah termasuk kata anak bawah setahun tak boleh sedangkan Abbas sudah berusia setahun lebih.
“Jadi, komen mak cik bawang ini yang membuatkan saya malas nak buat konten masak-masak begini sebab semua terpaling betul,” katanya dalam InstaStory baru-baru ini.
Malas hendak mengusutkan kepala, bekas pengacara program hiburan MeleTOP itu tidak teragak-agak untuk memadam komen negatif tersebut daripada hantaran tersebut.
Jadi, sesiapa yang nak komen cara masak dan bahan digunakan, saya akan padam sebab sakit mata,” katanya lagi.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen menasihatkan Neelofa tidak menghiraukan komen sebegitu dan berkongsi lebih banyak konten berkaitan masakan terutama menu untuk kanak-kanak.
Terdahulu, wujud segelintir netizen yang mempertikaikan beberapa bahan seperti mentega dan madu yang digunakan Neelofa dalam resipi roti bersalut telur untuk anak lelakinya, Abbas kerana tidak sesuai dimakan kanak-kanak berusia kurang setahun seperti yang dikongsi menerusi sebuah video Instagram baru-baru ini. – HIBGLAM