PENYANYI dan pelakon Mark Adam mengakui berasa pelik dengan pendirian pasangan suami isteri yang sengaja memilih hidup tanpa zuriat atau ‘childfree’.
Begitupun, ujar Mark atau nama lengkapnya Fikri Mark Adam Abdullah, 45, secara peribadi dia enggan bersangka buruk sebaliknya menganggap mereka yang berbuat demikian ada alasan tersendiri.
Sebenarnya saya memang rasa pelik dan tertanya-tanya kenapa ada orang yang boleh mempunyai zuriat memilih untuk hidup berdua sahaja sedangkan setiap anak ada rezeki masing-masing.
“Tetapi apabila difikirkan balik, kita sebagai orang luar tak boleh paksa kehendak mereka untuk mengamalkan gaya hidup ‘childfree’ yang sudah lama dipraktikkan sebilangan pasangan di barat.
Semua itu terpulang kepada mereka, namun setahu saya ramai lagi di luar sana yang berjuang mendapatkan cahaya mata macam saya dan isteri,” katanya kepada HibGlam.
Bagi penyanyi lagu Pencuri itu, sehingga kini dia sentiasa berdoa agar perkahwinan yang dibina bersama isteri tercinta, Norazah Redzuan dikurniakan zuriat.
Saya akan terus berdoa untuk dapat anak sampailah sekarang, usia perkahwinan kami pun sudah masuk 20 tahun.
“Kita tak paksa orang sebab pilihan mereka. Kalau saya, saya pilih untuk ada anak cuma belum datang rezeki lagi. Doakan kami.
Jika diberi pilihan, saya mahu anak lelaki yang boleh jadi pelindung keluarga, jaga ibu dia bila tua nanti,”
katanya ketika ditemui di Bazar Hujung Minggu di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, baru-baru ini.
Terdahulu, konsep hidup tanpa zuriat menjadi topik perbualan hangat dalam media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi banyak pihak.
Trend memilih hidup berdua walaupun suami isteri sihat untuk mempunyai zuriat dipercayai atas keinginan gaya hidup bebas tanpa tanggungjawab serta desakan ekonomi. – HIBGLAM