MEMAHAMI cabaran dalam perkahwinan, pelakon Norman Hakim berharap puteri kesayangan, Marissa Dania, menantu serta madu anak perempuannya teguh menempuh ujian rumah tangga.
Menganggap menantu dan madu anaknya seperti darah daging sendiri, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 48, percaya dugaan setiap manusia berbeza selain mendidik mereka untuk lebih bersyukur.
Papa sayang adik (Marissa), Aslam dan Umisya, semua anak-anak papa. Ujian hidup kita berbeza. Doa buat kalian tidak pernah putus.
“Allah hadirkan hujan, ribut dan taufan sebab nak mengajar kita tentang bersyukur dalam tangis serta sujud semasa hadirnya pelangi nanti.
Percaya dan yakin waktu itu akan tiba,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Lebih menyentuh hati, aktor drama bersiri Gerak Khas itu turut memuat naik video serta foto bersama Marissa ketika kecil.
Tidak pernah pudar dalam memori, Norman juga sempat berkongsi mengenai hari Marissa dilahirkan di dalam kereta ketika dia dan bekas isterinya, Abby Abadi dalam perjalanan menuju ke hospital.
Papa tidak lupa momen sambut kelahiran adik dalam kereta. Tak sempat bawa mama sampai klinik, adik dah tak sabar nak keluar.
“Nampak sahaja muka adik, terus lenyap panik papa. Terus hilang sakit mama bertarung nyawa lahirkan adik,” kongsinya.
Suami kepada pelakon Memey Suhaiza itu berkongsi kata-kata indah Marissa ketika anaknya itu berusia 10 tahun melalui sepucuk surat.
Sembilan tahun lepas, papa dapat ‘surat cinta’ dari adik. Surat yang comel sangat. Bukan setakat comel tapi sangat mendalam segala maksud yang tersirat walau dicoret oleh anak berusia 10 tahun.
“Sayang papa terhadap adik dari sambut sendiri kelahiran sampai ke saat ini tak pernah berubah.
Hanya mati yang akan pisahkan kasih sayang kita. Itu pun takkan terpisah sebab kita akan jumpa balik dalam kehidupan akhirat yang hakiki,” tuturnya.
Norman dan Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 47, mendirikan rumah tangga pada 2002 namun pasangan itu bercerai pada 2009.
Selain Marissa, mereka turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Danish Hakim dan Maria Danisha.
Norman kemudian berkahwin dengan pelakon Memey Suhaiza pada 2011 dan memiliki tiga anak, manakala Abby pula bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015. – HIBGLAM