DIBERI jolokan pasangan contoh apabila memilih untuk rujuk selepas bercerai, pelakon Farid Kamil menegaskan dia dan isteri, Diana Danielle hanya kembali kepada niat asal perkahwinan tersebut.
Menurut Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 43, apa yang dipaparkan kepada umum bukan satu perkara yang baik terutama berkaitan perceraian.
Macam saya katakan sebelum ini, apa yang kami lakukan itu bukanlah contoh terbaik.
“Namun, apa yang boleh saya katakan ialah, kami kembali kepada niat asal perkahwinan ini.
Apabila kami faham antara satu sama lain, niat asal kami berkahwin kerana Allah, semuanya menjadi mudah,” katanya kepada HibGlam selepas siding media filem Gold, semalam.
Tambahnya, dia dan Diana juga sudah menemui jalan dan titik persefahaman selepas duduk berbincang bagi menangani kemelut rumah tangga mereka.
“Sebelum ini mungkin pemikiran dan pemahaman kami itu tidak selari tetapi apabila sudah duduk berbincang, kami kini berada dalam fasa bahagia.
Saya sebagai seorang ayah dan lelaki, rasa bersyukur dengan apa yang berlaku. Sebab semua ini sudah tertulis dan kami hanya menjalani sahaja perjalanan ini,” ujarnya.
Ditanya dakwaaan pasangan tersebut masih belum ke mahkamah bagi urusan rujuk, Farid memberitahu semuanya sudah diselesaikan tanpa perlu mengejar sensasi.
Rujuk sudah lama berlaku secara dasarnya. Kami ambil jalan tengah untuk selesaikan masalah itu (cerai) dengan rujuk.
“Kami juga tidak menguar-uarkan bahawa benda itu jadi berita sensasi dan cuma ambil jalan mudah dan terbaik,” katanya lagi.
Sebelum ini, Farid dan Diana pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara atas talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – HIBGLAM