Pemergian pengarah juga pengkritik filem, Mansor Puteh akibat nahas jalan raya pagi memberi meninggalkan kesan mendalam buat karyawan dunia perfileman.
Sahabat baiknya, Mior Hashim Manap juga pengarah filem, berasa ralat apabila tidak dapat berjumpa dengan Mansor yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia itu.
“Baru-baru ini, filem Imam menyertai festival di Iran dan insan yang paling banyak berjasa adalah Allahyarham.
Arwah berusaha dan mengangkat filem Imam pergi ke banyak lokasi. Jadi, saya terkilan tidak dapat bertemunya apabila kali terakhir kami berjumpa sebelum ke Iran dua bulan lalu.
“Semalam sepatutnya ada tayangan apresiasi filem Imam, saya ingatkan dia datang tetapi tidak. Kalau tidak dapatlah kami berjumpa,” ujarnya lagi.
Menurut Mior, jenazah sudah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk urusan lanjut.
Saya dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp. Berita tersebut dikongsikan anak buah seorang sahabat kami yang juga anggota polis trafik.
Saya terkejut Mansor meninggal dunia disebabkan kemalangan pagi tadi,” katanya kepada HibGlam.
Difahamkan, selepas selesai menguruskan jenazah di HUKM, arwah Mansor, 70, akan dikebumikan di Melaka.
Dalam kejadian sekitar pukul 10 pagi tadi, kereta yang dipandu Mansor terbabas melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Jalan Alam Damai.
Kemalangan tersebut disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh. Katanya, kejadian berlaku ketika Mansor yang menaiki kenderaan jenis Proton Iswara memandu sendirian dari arah Taman Len Seng menghala ke Taman Alam Damai.
Setibanya di lokasi mangsa yang juga pemandu telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang hayat, Mansor pernah mengarahkam filem Seman pada 1988 selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun di Residensi.
Allahyarham juga dikenali dengan sikapnya yang suka menderma darah dan pernah menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali pada 2018.
Pada 2021 dilaporkan Mansor adalah rakyat kedua terbanyak menderma darah dalam negara. Ketika itu, Mansor sudah berusia lebih 60 tahun tetapi masih komited mendermakan darah demi membantu sesama insan.
Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor adalah bekas wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.
Sebagai pengkritik filem pula, Mansor dikenali sebagai individu yang lantang menghentam pengisian serta plot beberapa karya terbitan rumah produksi tempatan dan menyifatkan kebanyakan naskhah filem tidak berkualiti sebagai sampah. Selain pengkririk, Allahyarham juga aktif menulis buku antaranya, Glosari Perfileman Melayu, Kritikan Filem Mansor Puteh dan Palestine Stories. – HIBGLAM