Manisnya hijrah Nora Danish

BERGENANG air mata pelakon Nora Danish tatkala mengimbas kembali momen penghijrahannya yang mencetuskan kejutan ramai.

Sudah beberapa minggu berlalu,  daripada imej ranggi yang  berani dengan gaya moden,  si aktres yang menjadi pujaan ramai itu kini manis berhijab berpakaian longgar menutup aurat.

Biar menderu spekulasi liar, termasuk tuduhan kononnya niat sebegitu selama ini dihalang bekas suaminya, Nedim, dakwaan tersebut tidak dilayan.

Bagi ibu tunggal anak dua itu, andai tidak diizinkan pun, seseorang isteri tetap boleh bertudung kerana perkara tersebut merupakan tuntutan agama.

“Mana mungkin (bekas) suami tidak benarkan (berhijab). Pokok pangkalnya kepada hati sendiri. Kalau perkara baik suami pun tak boleh halang.

“Sebenarnya saya jumpa Nedim adalah pada hari kedua saya nekad pakai tudung. Dia pun terkejut, tapi gembira dan puji saya. Katanya saya nampak cantik,” tutur Nora kepada HibGlam.

Enggan nama bapa kepada anaknya menjadi sasaran tuduhan liar, pemilik nama lengkap Nora Danish Mohd. Haniff, 42, itu mendedahkan situasi lelaki terbabit juga menjadi antara penyebab dirinya berubah mahu menjadi muslimah lebih baik.

Biarpun lebih dahulu memetik rutin mengikuti majlis ilmu di kediaman seorang sahabat iaitu Betty Rahmad telah mendekatkan dirinya dengan Allah, penyakit dideritai Nedim adalah titik tolak terhadap keputusan tersebut.

“Memang kami tiada apa-apa ikatan lagi kecuali anak, tetapi keadaan kesihatan Nedim yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital turut membimbangkan saya.

“Ketika itu yang saya sedar Allah bukan bagi dugaan kepada Nedim, tetapi ujian buat saya. Turning point untuk saya berubah pada waktu tersebut adalah situasi berkenaan.

“Saya ambil keputusan kekal dengan niat memakai hijab penuh pada hari Nedim masuk ICU dan keesokan harinya ketika saya melawatnya di hospital, kenapa tangguh-tangguh,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama rantaian Perang Nasi Dagang baru-baru ini.

Sejak bercerai dan berhijab, Nora yang pertama kali muncul dalam acara hiburan dengan imej baharu itu turut mengakui keakraban dengan bekas suami ada mengundang fitnah.

Gara-gara menjaga bekas suami yang sakit, tercetus pula dakwaan mereka masih tinggal sebumbung biarpun sudah bercerai pada 19 Jun lalu.

Fitnah sebumbung

Berasa layak bersuara agar fitnah tidak terus berleluasa, pinta Nora, hormatilah pilihan perpisahan mereka seadanya.

“Biarlah kami jalani hidup ini dengan tenang. Walaupun saya pilih perceraian, Nedim tetap bapa anak saya dan ketika dia berdepan masalah kesihatan, saya ambil tanggungjawab menjaganya.

“Tetapi itu tak bermakna kami masih serumah atau akan kembali sebagai suami isteri. Saya enggan cakap sembarangan, tapi buat masa sekarang saya mahu lebih banyak hadiri majlis ilmu.

“Sedar banyak kekurangan, saya kena belajar untuk menjadi muslimah lebih baik. Soal cerai itu perkara yang sudah berlalu,” katanya tenang.

Pujukan 

Diminta berkongsi keadaan kesihatan Nedim atau nama sebenarnya Mohamed Nedim Mohamed Nazri, wanita berdarah campuran Arab dan Myanmar itu berasakan lebih wajar tuan empunya diri yang memberi kenyataan.

“Biarlah dia sendiri yang beritahu jika tiba masanya. 

“Mungkin dia tunggu waktu yang sesuai,” ujar bintang Polis Evo itu. 

Dilontarkan pula persoalan sama ada Nedim memujuknya bersatu kembali demi permata hati mereka, Mohamed Neqayl, 6, Nora memilih untuk mengunci mulut.

Tujuh tahun berkongsi hidup dengan usahawan terbabit, ada perkara tidak wajar dihebahkan Nora kepada orang luar.

“Tak perlu saya ceritakan apa-apa kepada umum, tak mengapa semua saya simpan,” tambahnya.

Lakonan tidak berhijab 

Lebih teruja berkongsi mengenai drama komedi terbaharu siaran Astro, Perang Nasi Dagang, dalam naskhah berkenan, Nora membawakan watak wanita Terengganu yang pekat bertutur dialek negeri tersebut.

“Ini bukan kali pertama saya berdialek Terengganu, cuma dahulu ada jurulatih bahasa. 

“Apa pun selepas pengarah, Issey Fazlisham yakinkan ramai kawan lain boleh bantu, terus saya terima.

“Jalan ceritanya sangat menarik iaitu konflik antara penjual nasi dagang Kelantan dan Terengganu. Barisan pelakon juga bagus-bagus,” ujarnya.

Memahami drama berkenaan juga dibikin ketika belum berhijrah, Nora berharap penonton tidak salah faham atau menuduhnya mempermainkan agama.

“Selain drama rantaian Astro ini, ada beberapa naskhah  lakonan lain saya juga menunggu giliran untuk disiarkan termasuk sebuah filem.

“Memang ketika itu saya belum memakai tudung, tetapi saya yakin orang ramai memahami situasi tersebut.

“Begitu juga dalam soal rezeki, saya tidak bimbang perubahan ini akan mengganggu tawaran kerana rakan lain yang bertudung tetap meraih banyak job,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok