MENGUNCI mulut, penyanyi Ernie Zakri tidak bersedia memperincikan luahan kekecewaan yang dimuat naik dalam platform X miliknya, baru-baru ini.
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, berkata, pendekatan sebegitu perlu dibuat bagi mengelakkan salah faham berpanjangan dalam kalangan khalayak.
“Masa tu saya hanya ‘tweet’, meluahkan rasa terbuku yang dah lama saya simpan tetapi biarlah saya sahaja yang tahu. Lambat-laun orang tahu dan mungkin juga datang dari mulut saya sendiri.
“Saya hampir mendedahkan tapi saya tarik balik kata-kata dan ingin terus melangkah ke hadapan.
“Saya tahu sudah mengundang pertanyaan ramai. Kalau dedahkan orang akan bertanya, jadi saya biarkan saja,” katanya.
Pelantun lagu Masing-Masing itu juga menegaskan luahan tersebut tiada langsung kaitan dengan bekas syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment seperti didakwa ramai.
“Kalau cakap berkenaan lagu, syarikat Rocketfuel Entertainment sebenarnya sedang menyelesaikan semua isu berkaitan lagu-lagu saya sebab bertukar pihak pengurusan.
“Jadi perkara itu memang tiada dan salahlah tanggapan peminat itu. Ini tidak ada kaitan dengan apa-apa spekulasi dibuat peminat,” ujarnya.
Enggan berselindung, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) itu berterus-terang dengan ahli kelab peminat sekali gus menolak dakwaan sengaja berbuat demikian sebagai gimik untuk melancarkan lagu baharu dalam masa terdekat.
“Sebenarnya, kisah ini sudah berlalu dua hingga tiga minggu dan saya tak mahu fikir lagi.
“Saya pun tiada komen lain, itu hanya perasaan saya ketika itu. Ada juga orang cakap gimik hendak keluar lagu, tapi sebenarnya tidak.
“Masa itu saya hanya menjadi wanita biasa yang meluahkan di media sosial,” jelasnya.
Sebelum ini tular satu ciapan Ernie dalam platform X berkenaan rasa kecewa terhadap sesuatu perkara yang sudah lama dipendamkan.
“Ini sangat mengecewakan. Berita ini sangat mengecewakan.
“Ini sangat tidak profesional. Saya dah lama tutup mulut. Terlalu lama,” ciapnya.
Pun begitu, Ernie tidak memperincikan sebab kepada kekecewaan tersebut namun spekulasi bertebaran mendakwa berkaitan dengan isu kerja. – HIBGLAM.