Konsert Destiny of Music macam Citrawarna

GABUNGAN artis hebat dan penuh warna. Itu sudah cukup untuk menggambarkan kemeriahan Konsert Destiny Of Music yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Mungkin juga barisan penyanyi yang membuat persembahan pada malam tersebut merupakan faktor utama tiket konsert ‘sold out’ dan dewan acara dipenuhi lebih 3,200 penonton.

Pentas dibuka oleh penyanyi baharu, Rayme Zainal menerusi lagu-lagu singlenya seperti Andai dan Close To You sebelum diambil alih Daniel Chuer.

Mendendangkan lima buah lagu balada, bekas naib juara Big Stage musim keempat itu memukau ramai dengan kehebatan pelbagai teknik vokal.

HAZIQ menghiburkan penonton dengan seleksi lagu irama tradisional. Foto oleh AFIQ RAZALI

Seiring dengan objektif penganjur yang mahu mempersembahkan pelbagai genre dalam sebuah konsert, penonton seterusnya dihidangkan dengan muzik irama Malaysia daripada Haziq Rosebi menerusi lagu Lemak Manis, Zuraidah dan lagu joget, Umpan Jinak Di Air Tenang.

Belum puas dengan muzik tradisional, penonton dibawa pula memasuki mood retro dengan persembahan Kugiran Masdo Band yang sentiasa menjadi kegilaan anak-anak muda.

Menyampaikan enam buah lagu seperti Janji Manis, Dinda dan Perih Jerih, Masdo Berjaya meledakkan adrenalin penonton sehingga ada yang bangun menari. Persis konsert solo!

KUGIRAN Masdo berjaya menyita perhatian penonton sekali gus menggamat seluruh dewan dengan persembahan penuh bertenaga.

Tidak cukup dengan Masdo, konsert anjuran Be De Paris Beauty Project itu membawakan pula bekas graduan jurusan muzik UiTM iaitu Ernie Zakri.

Kemunculannya berjaya ‘menyihir’ penonton dengan vokal hebat menerusi lagu Ku Bersuara, Boneka dan Masing-Masing yang disampaikan dalam versi tradisional.

Persembahan isteri kepada penyanyi, Syamel itu sudah seperti menonton Anugerah Juara Lagu dan momentum itu diteruskan dengan kemunculan Aina Abdul di pentas dengan lagu Terus Hidup, Imaji dan Jangan Mati Rasa Itu.

Mengenakan busana unik berkonsepkan patah hati, Aina menghangatkan lagi suasana konsert apabila turun dari pentas dan menyanyi bersama penonton yang mengerumuninya.

Meskipun diserbu dan perlu melayani permintaan penonton yang mahu berswafoto, nyanyian pemilik vokal ampuh itu tetap disampaikan dengan cemerlang. 

Konsert tersebut seterusnya ditutup dengan nyanyian duet Aina dan Ernie menerusi lagu Kurik Kundi milik Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Berkongsi lanjut mengenai persembahan, Aina memaklumkan lagu hasil ciptaan Allahyarham Pak Ngah itu dinyanyikan tanpa latihan.

“Lagu ini dinyanyikan atas permintaan tuan rumah yang sangat meminati lagu Kurik Kundi. Jadi, kami tunaikan permintaan mereka.

“Saya dan Ernie tiada sempat untuk berlatih bersama kerana jadual kerja yang padat. 

“Syukur semuanya berjalan lancar, ketika menyanyi bersama, kami cuba membaca fikiran masing-masing,” katanya kepada HibGlam.

Konsert yang mendapat kerjasama Pusat Kebudayaan UiTM itu turut disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan UiTM dalam menyemarakkan aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan.

Menurut pengarah projeknya, Nur Hidayah Roslee, antara objektif utama penganjuran konsert tersebut ialah mahu memupuk rasa cinta terhadap muzik khususnya irama tradisional dalam kalangan penuntut di peringkat universiti. 

“Zaman sekarang, generasi muda lebih cenderung kepada muzik K-Pop atau irama muzik moden berbanding tradisional.

“Jadi, saya mengambil inisiatif menganjurkan konsert ini supaya dapat menanam rasa cinta penuntut universiti terhadap irama tradisional,” ujarnya.

Tambah Nur Hidayah, acara tersebut juga merupakan konsert amal dengan sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Tabung Pelajar UiTM.

“Konsep lebih kepada konsert amal kerana antara 15 hingga 20 peratus hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Tabung Pendidikan UiTM.

“Insya-Allah, selepas melihat sambutan hebat untuk konsert ini, kami juga bercadang untuk meneruskan konsert ini ke negeri lain,” tuturnya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok