SELEBRITI sensasi Aliff Aziz bersyukur prosiding bacaan pertuduhan kes khalwat dengan pelakon, Ruhainies yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini berjalan dengan lancar.
Meskipun kes akan berlarutan, Aliff, 33, tetap memohon doa daripada orang ramai agar semua urusan melibatkan kes mahkamahnya dipermudahkan.
Alhamdulillah apa yang harus berjalan hari ini semua dipermudahkan.
“Seperti apa yang dibicarakan di mahkamah tadi, prosiding ini akan disambung ke tarikh yang sudah ditetapkan.
“Secara peribadi, saya lega semua urusan dan memohon doa semuanya berjalan dengan baik.
Apa sahaja yang melibatkan kes selepas ini, kami akan beri komitmen sepenuhnya kepada pihak mahkamah,” katanya di pekarangan mahkamah.
Menjawab dakwaan netizen, dua pelakon itu menafikan mereka hadir bersama sebaliknya menaiki kenderaan berasingan ke mahkamah hari ini.
Tidaklah, kami datang berasingan sebab prosiding kami berjalan pada waktu serentak,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, berhubung tindakannya berbalas hantaran dalam InstaStory baru-baru ini, Aliff menegaskan semua itu hanya berkaitan kerja.
Bahkan, dia juga menegaskan hubungannya dengan Ruhainies dalam situasi yang baik dan tiada sebab untuk saling bermusuhan.
Saya dan Ruhainies perlu melalui prosiding mahkamah berkaitan kes ini, jadi apabila kita ulang siar InstaStory antara satu sama lain, orang salah tafsir kami saling berbalas.
“Cuma tiada apapun yang boleh menghalang untuk kami terus berhubung. Kami tak bergaduh. Mungkin orang ingat, bila kami ada kes, kami perlu bermasam muka.
Buat masa ini kami tiada isu dan tak perlu bermasam muka dengan Ruhainies. Apa sahaja hantaran itu, semuanya hanya melibatkan kerja,” ujarnya lagi.
Hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Prosiding seterusnya akan disambung pada 17 Oktober depan.
Terdahulu pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Kehadiran mereka berdua dipercayai atas tujuan lanjutan bon jamin berkenaan kes tangkap khalwat pada Mac lalu.
Pada 9 Mac lalu, nama Ruhanies hangat menjadi bualan hangat selepas dia dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. – HIBGLAM