LEBIH baik berdiam diri atau minta maaf.”
Demikian respons penerbit Fadzil Teh atau lebih dikenali sebagai Haji Zil mengenai kontroversi yang melanda pelakon sensasi Ruhainies ketika ini.
Menurutnya, Ruhainies tidak seharusnya melakukan sesuatu yang boleh membuatkan kontroversi berkaitan dirinya berlarutan sehingga menjadi bahan kecaman netizen.
“Kalau boleh dia berhentilah daripada terus terpalit dengan kontroversi yang melanda ketika ini.
Saya tidak menyokong tetapi dia harus lakukan sesuatu untuk ‘comeback’ dalam industri.
“Saya kasihan melihat sambutan ramai terhafap drama terbaharunya, Terjerat (lakonan bersama Aliff Aziz) kerana menerima kecaman teruk,” katanya kepada HibGlam, semalam.
Dia juga menasihatkan aktres berusia 31 tahun itu tidak terus mengeluarkan sebarang kenyataan yang memakan diri.
Haji Zil juga mengakui kasihan melihat situasi yang melanda Ruhainies ketika dihujani kecaman hebat daripada masyarakat.
Saya sebagai individu yang agak rapat memang rasa kasihan. Dia pun ada cakap dengan saya, sedikit kecewa apabila turut dihentam rakan baik dalam industri.
“Saya rasa dia tak payah keluarkan kenyataan dan sebarang komen sebab lebih baik berdiam diri atau minta maaf.
Kalau tersalah cakap risau viral mcm isu tak boleh menangis depan kamera,” ujarnya.
Ujar Haji Zil, dia tidak keberatan untuk mengambil pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu berlakon dalam drama terbitannya tetapi perkara tersebut tetap bergantung kepada keputusan dan pendirian pihak stesen televisyen.
Saya kasihan sebab dia baik dengan saya. Dia nak cari makan dengan industri sahaja.
“Dia ada tanya saya sama ada berani atau tidak nak ambil dia berlakon.
Saya hanya jawab, tiada masalah kalau stesen TV boleh terima, saya okey sahaja sama ada dia atau Aliff,” jelasnya.
Pada 9 Mac lalu, nama Ruhanies kembali menjadi bualan hangat selepas dia dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.
Sementara, pada 3 Julai lalu, dua pelakon itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz atas pertuduhan khalwat.
Mahkamah menetapkan prosiding seterusnya akan disambung pada 17 Oktober depan. – HIBGLAM