Terus mendakap tuah, anggota kumpulan BTS, Jin berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan membawa obor ketika acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 pada 27 Julai ini.
Menurut sebuah laporan, idola berusia 32 tahun itu bakal terbang ke Perancis dalam masa terdekat bagi upacara tersebut, namun tarikh sebenar idola tampan terbabit ke negara berkenaan tidak dinyatakan.
Jin bakal mengetuai larian membawa obor bersama 11,000 atlet dari seluruh dunia, mangsa peperangan, angkasawan dan pekerja am.
Obor yang mula dinyalakan di Greece sudah pun tiba di Perancis bulan lalu dan bakal menjelajah 400 lokasi sekitar 12,000 kilometer sebelum tiba di temasya pembukaan.
Sementara itu, peminat Jin meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian penyanyi itu dan menganggap pemilihannya adalah luar biasa.
Malah, mereka menyifatkan Jin beruntung dapat melibatkan diri dalam acara sukan terbesar dunia walaupun baru sahaja menamatkan latihan ketenteraan pada 13 Jun lalu.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula pada 27 Julai sehingga 11 Ogos depan membabitkan 15,000 atlet dari 206 negara.