Derita aneh 5 bintang K-pop

DUNIA hiburan K-pop tidak pernah surut dengan kisah sensasi, gosip, skandal, pencapaian cemerlang mahu pun gaya hidup penuh keindahan yang dikongsikan dalam media sosial.

Namun siapa sangka, di sebalik keceriaan ditonjolkan, rupa-rupanya ada beberapa selebriti yang menyembunyikan penyakit dihidapi mereka.

Bukan masalah kesihatan biasa, selebriti terkenal itu sebenarnya berdepan penyakit yang jarang diketahui umum.
Daebak minggu menyenaraikan beberapa bintang K-pop yang mempunyai penyakit pelik bahkan ada antaranya kita sendiri tidak pernah dengar.

HyunA

SEKITAR 2019 lalu, penyanyi HyunA membuat pengakuan menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai vasovagal syncope.

Menurut HyunA atau nama sebenarnya Kim Hyun-ah, penyakit tersebut boleh menyebabkan tekanan darah serta kadar degupan jantung turun secara tiba-tiba.

Simptom yang berlaku menyebabkan aliran darah lambat sampai ke otak sehingga boleh mengakibatkan pesakit jatuh pengsan tiba-tiba.

Sebelum didiagnosis, penyanyi berusia 32 tahun itu mengakui penglihatannya menjadi kabur dan sering berasa pening kepala.

Solji

PADA 2016, penyanyi kumpulan EXID iaitu Solji didiagnosis menghidap penyakit hyperthyroidism sehingga memaksanya bercuti panjang.

Hyperthyroidism berlaku apabila kelenjar tiroid menghasilkan banyak hormon thyroxine yang menyebabkan tahap metabolisma terlalu tinggi, kehilangan berat badan dan masalah degupan jantung.

Selepas menjalani rehat yang panjang, pemilik nama lengkap Heo Sol-ji, 35, itu akhirnya pulih sepenuhnya pada 2018.

Krystal, Jessica Jung

SEJAK kecil, penyanyi Krystal ini menghidap penyakit anemia iaitu kekurangan sel darah merah untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh.

Anemia membuatkan seseorang cepat keletihan dan lemah sehingga menyebabkan ahli kumpulan f(x) itu pengsan di atas pentas semasa mengadakan konsert pada 2010.

Pada masa sama, kakaknya yang juga penyanyi, Jessica Jung turut menghidap penyakit sama.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak menjadikan penyakit tersebut sebagai alasan untuk mengakhiri karier seni.

Lay

SEPANJANG bergiat aktif dalam dunia seni, bekas anggota kumpulan EXO iaitu Lay sering mengalami kecederaan, terutama semasa membuat persembahan.

Pemilik nama asal Zhang Jiashuai itu kemudian didiagnosis mempunyai masalah hemophilia iaitu darah tidak membeku secara normal kerana kekurangan protein pembekuan darah. Pesakit berdepan risiko pendarahan lebih jika cedera selain lambat sembuh berbanding individu lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok