Pelakon Sherry Ibrahim melakar kejayaan sendiri apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah semalam.
Berkongsi detik manis tersebut, Shery atau nama penuhnya Syarizad Ibrahim, 41, berkata, pendakian pertama kali itu tersebut sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikalnya.
Syukur saya berjaya pada 7 Julai 2024 sampai ke puncak sebelum matahari terbit dan berpeluang melihat pelangi yang indah selepas hujan.
“Pendakian ke puncak ini lebih tentang ketahanan fizikal. Perjalanan ini menguji keazaman, fokus dan daya tahan yang ‘memaksa’ saya untuk mencapai limit fizikal serta mental,” katanya dalam Instagram.
Bukan hanya pengalaman, pelakon drama Teduhan Kasih itu turut berpeluang mengenali ramai kenalan baharu sepanjang tempoh untuk mencapai ke puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu.
“Dapat berkenalan dengan kawan baharu dan mereka sangat kuat serta menakjubkan.
Pada akhirnya, ini bukan tentang menawan Gunung Kinabalu tetapi diri sendiri kerana semua ini berlaku atas keizinan Allah SWT,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pendakian tersebut juga akan menjadi kenangan pertama dan terakhir buatnya di sana.
“Ini pertama dan terakhir ya Mr Akinabalu ditambah pula saya tak dapat ‘rasa’ kaki sepanjang perjalanan turun dari gunung,” katanya yang hanya melakukan latihan di Bukit Gasing, sebelum terbang ke Sabah.
Sebelum Sherry, beberapa selebriti tanah air lain juga pernah berkongsi momen manis apabila berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu.
Antaranya ialah Siti Saleha, Azhan Rani, Hawa Rizwana dan juga bintang Korea Selatan, Lee Minki. – HIBGLAM