Buli tiada kaitan dengan usia tapi sikap pelaku – Najua Nasir

PELAKON Najua Nasir berharap insiden kamatian sadis Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dapat menjadi iktibar kepada pelajar tentang implikasi perbuatan buli.

Najua atau nama lengkapnya Najua Mohamad Nasir, 37, berkata, perbuatan buli tidak terkait dengan usia, tetapi melibatkan pemikiran dan sikap seseorang itu.

“Kejadian buli seperti ini banyak melibatkan pelajar, jadi ramai yang mengatakan usia muda menyebabkan mereka melakukan tindakan tidak matang.

Tetapi, bagi saya ini lebih kepada sikap individu itu sendiri. Diri sendiri yang mempunyai pemikiran dan keinginan untuk menyakiti orang lain sedangkan tahu perkara dibuat itu berbahaya,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Lelaki Itu terbabit mengakui berasa tertekan saat membawakan watak ibu dalam pementasan teater bertajuk Along yang diinspirasikan daripada kisah tragis Allahyarham Zulfarhan.

Ini pertama kali saya membawa watak berat dalam pementasan teater. Awalnya saya tidak yakin untuk membawakan watak ibu yang menerima berita kematian anaknya dengan cara sebegitu.

“Namun syukur sokongan daripada pasukan teater membantu dalam menjayakan watak ini.

Mana-mana ibu bapa tidak akan menduga bahawa anak mereka akan diperlakukan sebegitu rupa,” ujarnya.

Najua berkata demikian bagi mengulas tentang reaksi pengguna media sosial memuji lakonannya membawakan watak sebagai ibu dalam pementasan monolog, Along yang tular di TikTok.

Teater berjudul Along itu telah dua kali dipentaskan iaitu pada Oktober 2023 dan Jun 2024.

Dalam pada itu, orang ramai turut dijemput hadir bagi menyaksikan rakaman pementasan teater, Along yang telah dipentaskan pada Oktober tahun lalu di Creative Space, Setapak, Kuala Lumpur.

Berlangsung pada Sabtu ini, tayangan selama 50 minit itu bermula pada pukul 9 malam kemudian disusuli sesi apresiasi dan diskusi bersama barisan belakang tabir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok