SELEBRITI sensasi, Neelofa kini lebih senang menguruskan hal rumah tangga berbanding menyibukkan diri dengan deras kerjaya seni yang sudah lama diperlahankan.
Aktif menjalankan perniagaan, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor lebih selesa urusan meraih rezeki dikendalikan suami tersayang, Haris Ismail.
Ujarnya, biarlah sebagai seorang wanita berstatus ibu diseiringkan dengan peranan yang diberikan Allah SWT itu kepada dirinya dengan sebaik-baiknya.
“Jika bercakap tentang kerjaya, saya rasa tiada apa yang hendak diperkatakan kerana kalau boleh, saya ingin menghabiskan masa di rumah membesarkan anak-anak.
“Memandangkan Haris suka berniaga, biarlah dia yang menguruskan perniagaan sementara saya pula fokus kepada keluarga dan meluangkan masa dengan anak-anak,” ujarnya pada majlis pelancaran Nunha Store di MyTown, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Neelofa, premis fizikal itu membolehkan pengguna untuk mendapatkan produk secara langsung dan juga secara online.
“Alhamdulillah, perniagaan kami mendapat respons positif terutamanya peminat yang tidak henti-henti menyokong,” terangnya yang lebih mesra dipanggil Lofa.
Dalam pada itu, dia dan suami juga merancang untuk membuka cawangan lain di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan bagi meluaskan rangkaian Nunha Store.
Memandangkan perniagaan yang diusahakan semakin mendapat perhatian, bekas pengacara rancangan hiburan MeleTop itu bagaimanapun menafikan sudah memasang niat untuk bersara dari dunia hiburan.
Katanya, sehingga dia kini masih menerima tawaran berlakon, namun tidak dapat memberikan kata putus seperti diharapkan produksi.
“Tawaran berlakon itu ada, tetapi saya fikir semua itu belum masanya lagi. Lagi pun anak juga masih kecil. Mungkin apabila mereka besar nanti, penyusunan kerja itu agak berbeza berbanding sekarang.
“Saya tidak terfikir untuk bersara, cuma buat masa sekarang saya lebih suka duduk di rumah, memasak dan menjaga anak,” ujar pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu.
Masak sendiri
Melanjutkan cerita tentang hal rumah tangga, Neelofa memberitahu tugas menyediakan sarapan pagi sudah menjadi rutin harian wajib buat dirinya.
Boleh dikatakan hampir setiap pagi, dia akan menguli tepung untuk memasak capati. Perkara itu dapat dilihat berdasarkan perkongsian media sosial.
“Saya memang suka memasak dan sekiranya hidangan itu boleh dibuat di rumah, saya selesa untuk menyediakannya sendiri dan kami sekeluarga gemar makan di rumah.
“Jadi, tidak perlu untuk membeli di luar dan kami juga agak jarang makan di luar kecuali pada waktu tertentu, selalunya hanya di rumah sahaja.
“Setiap pagi sudah menjadi rutin untuk saya menyediakan sarapan iaitu menu kegemaran Bilal (anak pertama) iaitu capati.
“Memandangkan ahli keluarga saya ramai yang suka memasak, jadi kami saudara mara saling bertukar resipi terutama dari latar belakang keluarga berbeza. Ada dari Pakistan dan ada juga dari Arab,” terangnya bersungguh-sungguh.
Tentu sahaja momen terindah buat Neelofa apabila melihat hasil air tangannya dinikmati oleh insan tersayang.
“Anak-anak saya memang jenis yang suka makan juadah yang saya masak sendiri seperti biskut dan kentang goreng.
“Jadi selalunya jika mereka ingin snek, saya akan menyediakannya sendiri dengan menggunakan bahan semula jadi dan baik untuk kanak-kanak,” ujarnya.
Besarkan anak-anak
Sementara itu, bagi Haris, peluang menghabiskan masa dengan keluarga merupakan detik bermakna dan tidak ternilai harganya.
Selepas lebih setahun menggalas tanggungjawab sebagai bapa, banyak perkara yang telah membuka matanya dalam hal membesarkan anak-anak.
Katanya, peranan bapa bukan sekadar menyediakan keperluan asas, tetapi turut terlibat dalam komunikasi bagi membentuk tumbesaran rohani dan jasmani anak-anak.
Apatah lagi, kedua-dua cahaya matanya iaitu Muhammad Bilal, 2, dan Abdullah Abbas, 1, masih kecil.
“Saya melihat tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menghantar anak sekolah atau ke kelas agama sahaja, tetapi turut melibatkan bagaimana cara kita mempelajari dan berhadapan dengan kehidupan alam kanak-kanak.
“Boleh dikatakan sikap mereka akan berubah apabila kita kerap berkomunikasi dan meluangkan waktu dengan mereka,” ujarnya.
Ketika disoal tentang ketegasan dalam mendidik anak-anak, Haris terlebih dahulu melepaskan ketawa kecil sebelum memberikan jawapan.
Katanya, tidak mengira sama ada dia mahupun Neelofa, kedua-duanya tidak terlalu garang dalam membesarkan anak.
“Kami tidak garang kerana mereka juga masih kecil. Kalau nak garang itu hanya bila perlu sahaja kerana buat masa sekarang lebih kepada bermain dengan mereka.
“Walaupun kami ada pembantu rumah, tetapi Lofa sendiri yang akan mengambil tanggungjawab menyediakan makanan, memandikan anak dan menyuapkan mereka makan,” terang Haris.