PELAKON Nora Danish meluahkan kekecewaan apabila pendekatan tidak bercakap banyak mengenai isu rumah tangganya mencetuskan spekulasi liar.
Ujar Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, dia memilih untuk menanggung semua kesalahan di atas bahunya asalkan orang lain berbahagia.
“Biar luaran nampak kita yang buruk kerana dari dulu saya bukan jenis suka mengaibkan orang, diri sendiri pun bukan sempurna.
Masalah keluarga biar saya sahaja yang telan. Apabila kita membuat pilihan berdiam dan bertapis, terlalu banyak spekulasi timbul sampai dituduh bermacam-macam.
“Tapi Alhamdulillah saya saya sudah bersedia. Saya akan tanggung semua kesalahan asalkan semua pihak bahagia,” katanya dalam perkongsian Instagram Story.
Pelakon filem Polis Evo 3 itu juga menegaskan dirinya adalah wanita yang sudah biasa berdikari tanpa mengharapkan wang suami seperti didakwa sesetengah pihak.
Menurutnya, sejak dulu dia sudah biasa bekerja dengan kudrat yang ada bagi membantu ekonomi keluarga, sekali gus bukan jenis isteri manja.
Saya bekerja tanpa henti sejak awal untuk keluarga dan anak-anak saya. Dari dulu saya tak pandai meminta-minta walaupun dengan suami sendiri.
“Alhamdulillah. Terima kasih kepada Allah kerana memberikan kudrat dan rezeki.
Bukan niat membanggakan diri sendiri cuma saya hendak menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyangka saya dimanjakan,” ujarnya.
Terdahulu, sekitar April lalu Nora secara terbuka mengakui perkahwinannya dengan Nedim Nazri berdepan kemelut selain menyatakan tinggal berasingan.
Bagaimanapun, akuinya mereka sama-sama berusaha menangani semua permasalahan secara matang dan menyelesaikan semua isu dengan baik.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6 tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008. – HIBGLAM