BINTANG antarabangsa Bruno Mars bakal mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 September depan.
Pengumuman tersebut dimuat naik penganjur, Live Nation Malaysia menerusi laman sosial mereka.
“Bruno Mars bakal berkunjung ke Kuala Lumpur 17 September ini. Tidak sabar untuk merasai pengalaman 24K Magic secara langsung,” tulis Live Nation.
Sebelum mengadakan persembahan di Malaysia, Mars atau nama sebenarnya, Peter Gene Hernandez, 39, bakal mengadakan persembahan di Indonesia selama dua malam iaitu pada 13 dan 14 September.
Bagaimanapun, menjengah ruangan komen, ramai peminat yang tidak mengalu-alukan kedatangan pelantun lagu Just The Way You Are itu ke Malaysia kerana dia dikenali sebagai penyokong Zionis.
“Bruno Mars seorang penyokong Israel. Jadi, saya tidak akan datang konsertnya,” tulis seorang pengguna Instagram.
“Kalian semua, tolong boikot. Kita tolong dengan tidak menghadirkan diri ke konsert supaya kita ada peluang lebih untuk mendapatkan tiket,” coret peminat lain dengan nada sinikal.
Sekitar Oktober tahun lalu, pemenang 15 trofi Grammy itu meluahkan rasa kecewa apabila konsert keduanya yang dijadualkan di Tel Aviv, Israel terpaksa dibatalkan ekoran peperangan yang melanda wilayah tersebut.
Semasa peperangan tercetus, Mars masih berada di Israel, namun segera meninggalkan negara tersebut dengan menaiki penerbangan terawal menuju Athens, Greece bersama 60 petugas konsertnya. – HIBGLAM