Putus cinta tapi tetap pilih bersahabat

MEMASUKI  topik putus cinta mahupun perihal mengenai bekas kekasih, kebanyakan orang lazimnya memilih untuk ‘move on’ dan melupakan keindahan singkat masa lalu itu. 

Barangkali bukanlah dek kebencian  sebaliknya  enggan lagi berhubungan dengan seseorang yang pernah disayangi selain tidak mahu mengingati kenangan indah bersama suatu ketika dahulu. 

Bagaimanapun terdapat juga segelintir individu yang memilih untuk tidak bermusuh bahkan tetap berkawan dengan bekas kekasih setelah putus cinta. 

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang berdamai dengan masa lalu, sekali gus kekal dalam hubungan baik dengan mantan kekasih kendatipun cinta sudah padam. 

Ailee

Putus kerana tidak serasi, penyanyi Ailee mengakui tiada sebab untuk dia memusuhi mantan kekasih, sebaliknya masing-masing cuba memperbaiki apa yang sepatutnya untuk lebih individu lebih baik.

Bagi wanita berusia 35 tahun itu, hubungan mereka tidak pernah didasari  cinta yang mendalam. Itulah sebabnya setelah putus, dia tidak keberatan untuk menjalin ikatan persahabatan dengan bekas teman lelakinya. 

“Tidak seronok hidup bermusuh, biarlah saya dan dia (bekas kekasih) berbaik atas kapasiti kawan sahaja, mengapa tidak kan?,” ujarnya menerusi sebuah hantaran video. 

Sikap profesional Ailee itu meraih pujian netizen yang menyifatkannya sebagai wanita matang selain mendoakannya agar dikurniakan lelaki sesuai dengan keperibadiannya.

Lady Jane

Penyanyi Lady Jane juga tidak terlepas daripada senarai Kimchi Panas minggu ini. 

Imbas kembali pada 2016,  wanita berusia 39 tahun itu secara terbuka bercakap tentang hubungannya dengan bekas kekasih iaitu penyanyi rap, Simon D menerusi sebuah program temu bual. 

Tidak seperti orang lain, penyanyi jelita itu enggan bermasam muka malah memberitahu bahawa dia dan Simon masih berkawan baik selepas putus cinta meskipun tidak terlalu rapat seperti dahulu. 

Dedahnya, mereka saling berhubung apabila ingin menonton wayang bersama mahupun sekadar bertanya khabar. 

Kata Jane, dia percaya semuanya berlaku atas ketentuan Tuhan dan enggan bermusuh hanya disebabkan gagalnya sebuah percintaan.

Choi Woo-shik

Perkara sama juga turut dilakukan pelakon Choi Woo-shik yang memilih untuk berkawan dengan bekas kekasihnya yang sebelum ini pernah lima tahun menyulam kasih. 

Kata aktor berusia 34 tahun itu, mantan kekasihnya itu banyak mendorongnya untuk terus menyinar dalam dunia lakonan meskipun sebelumnya dia berencana berangkat ke Kanada untuk belajar menjadi sutradara.

“Bekas kekasih saya merupakan insan penting dalam karier ini. Disebabkan kegigihan dan semangat yang diberikan tanpa henti, saya kini berjaya dalam dunia lakonan.

“Meskipun kami bukan lagi pasangan bercinta, hubungan baik kami mustahil terlerai,” tegasnya menerusi satu rancangan temu bual. 

Bukan itu sahaja, pelakon Parasite itu bahkan hadir pada majlis pernikahan mantan kekasihnya itu dan menitipkan ucapan istimewa buat pasangan pengantin.

Jeon Somi

Berkali-kali gagal dalam percintaan sebenarnya sudah membuatkan penyanyi Jeon Somi muak dengan lelaki.

Bagaimanapun dia mengakui tidak membenci semua bekas kekasih, sebaliknya percaya setiap lelaki yang datang dan pergi daripada hidupnya memberikan satu pengajaran tidak kira baik mahupun buruk.

Kata idola berusia 23 tahun itu, sehingga kini dia masih berbaik dan berkawan dengan hampir kesemua bekas teman lelakinya.

“Saya masih berkawan dengan bekas teman lelaki saya, tiada jodoh untuk jadi suami, jadi kawan apa salahnya, lagi pun kami sudah saling mengenali antara satu sama lain dan akur dengan ketentuan Tuhan,” ujarnya. -HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok