PELAKON Muaz Zabir mengakui tidak mengetahui mengenai perceraian antara kenalan artis, Bella Astillah dengan Aliff Aziz hari ini.
Bagaimanapun, Muaz atau nama sebenarnya Muaz Mohamad Zabir, 27, mendoakan yang terbaik buat Bella dalam mengharungi dugaan hidup.
Katanya, setiap individu mempunyai takdir tersendiri dan dia mengharapkan agar peminat turut dapat mendoakan yang terbaik buat Bella.
“Mungkin takdir yang ditentukan itu adalah yang terbaik untuk kita. Saya tidak tahu bagaimana mahu ungkap perasaan sama ada kasihan atau sebaliknya pada dia (Bella).
“Namun, saya mendoakan Bella agar menemui kebahagiaan dan berjaya mengharungi cabaran hidup selepas ini.
“Seperti mana yang kita tahu, dia wanita yang kuat. Saya harap semua mendoakan yang terbaik buat dia,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran siri terbaharu Viu, Bawah Payung Awan, hari ini.
Menurut Muza dia hanya mengetahui berita berita perceraian Bella dan Aliff setelah dimaklumkan rakan-rakan.
Bahkan, dia juga tidak sempat melayani media sosial kerana sibuk dengan penggambaran.
“Maaf saya betul-betul tak sempat tengok media sosial sebab hari ini sibuk menjalani penggambaran.
“Hari ini saya bernasib baik apabila pihak produksi memberi pelepasan menghadiri acara ini dan akan bergegas ke Genting Highlands bagi menyambung penggambaran.
“Tapi saya tahulah yang mereka (Aliff dan Bella) sudah bercerai kerana orang sekeliling bercakap,” katanya.
Terdahulu pelakon drama Iskandar Cempaka itu pernah dikaitkan bermain cinta dengan Bella untuk membuatkan Aliff cemburu.
Kemudian tular dalam platform TikTok pendedahan perbualan dan gambar mesra Muaz dan Bella sekali gus meraih reaksi pelbagai netizen.
Hari ini Aliff menceraikan Bella dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat pada pukul 1.10 petang selepas mahkamah membenarkan permohonan perceraian yang dibuat Bella pada 11 Mac lalu. – HIBGLAM