DIDAKWA tidak layak dilantik sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCCed), penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan melatah, sebaliknya menyerahkan kepada institusi terbabit mengeluarkan kenyataan rasmi.
Perkara tersebut disampaikan pengurusnya, Rozi Abdul Razak yang menyatakan Siti, 45, hanya dapat memberikan maklum balas sebaik pihak berkaitan mengulas isu terbabit.
Buat masa ini Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan sempena pelantikan pakar di UMCCed kerana kenyataan rasmi harus dikeluarkan terlebih dahulu pihak berkenaan.
“Selepas kenyataan rasmi sempena pelantikan ini dibuat, Siti akan memberikan maklum balas kepada media mengenai perkara ini,” katanya menerusi kenyataan kepada HibGlam.
Pada masa sama, pihak pengurusan penyanyi nombor satu negara itu turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang memahami situasi.
Terima kasih kepada rakan-rakan media dan mohon maaf kerana buat masa ini Siti tidak dapat memberikan kenyataan,” ujarnya.
Sebelum ini di laman sosial kecoh apabila ramai individu mempersoalkan kewajaran personaliti popular terbabit diangkat sebagai pakar di UMCCed.
Menerusi sekeping poster yang tular, pelantikan pelantun lagu Biarlah Rahsia itu adalah bagi tempoh dua tahun.
Sebilangan netizen mendakwa, penyanyi terbabit tidak memiliki kelayakan akademik untuk diberikan jawatan tersebut selain berasakan gelaran itu seolah-olah merendahkan martabat Universiti Malaya (UM) sebagai institusi pendidikan ulung negara.
Begitupun, masih ramai menyokong pelantikan terbabit terutama ahli akademik yang beranggapan Siti layak diangkat bersandarkan pengalamannya selama tiga dekad dalam industri seni tanah air.
Ditubuhkan pada 1998, UMCCed adalah sebuah pusat pengajian di bawah Canseleri Universiti Malaya yang menawarkan Diploma Eksekutif sehingga program latihan dan pendidikan kursus pendek dalam pelbagai bidang. – HIBGLAM