MENDERITA kanser usus tahap empat, tahap kesihatan wartawan hiburan Huzz semakin merosot dan kini dalam keadaan kritikal.
Adiknya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin, 57, berkata, Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin kini sudah ditempatkan di rumah keluarga di Pulau Pinang dan di bawah pemerhatian doktor.
“Huzz kritikal dan kini di bawah pemerhatian doktor. Dia ditempatkan di rumah abang kedua Kamal Hisham atas permintaannya sejak sembilan hari selepas dikeluarkan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Mei lalu.
“Dia boleh beri maklum balas tapi agak lemah. Suhu badannya asyik berubah dari normal dan tinggi. Dia kini mendapat pemerhatian doktor dari Hospital Pulau Pinang.
“Kami enam beradik bersama ibu berkumpul di rumah abang sejak Jumaat atas permintaan Huzz,” ujarnya.
Sebelum ini, Huzz, 59 terlantar di HKL untuk menerima rawatan sejak sekitar Mac lalu selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Penderitaannya itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menerusi Setiausaha Politik beliau iaitu Ahmad Farhan Fauzi berbesar hati menziarahi Huzz.
Antara selebriti yang turut datang ziarah sebelum ini adalah seperti Datin Sofea Jane, Erra Fazira, Ziana Zain selain isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Huzz sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengarang majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz di sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Dia juga penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu. – KOSMO! ONLINE.