Jentikan bangkit daripada lena – Ayda Jebat

PENYANYI dan pelakon Ayda Jebat menjadi antara selebriti yang menjadi sebutan apabila sentiasa tambil dengan persembahan ‘luar kotak’ saat muncul di atas pentas The Hardest Singing Show (THSS).

Kreativiti yang ditampil sentiasa memberi cabaran kepada peserta lain. Namun, langit tidak selalunya cerah apabila percaturannya tidak menjadi pada minggu kelima pertandingan.

Mengangkat tema seram thriller, ideologi Ayda yang ingin merealisasikan impiannya untuk membawa watak seram akhirnya membuatkan dia terkeluar landasan apabila tersenarai sebagai dua peserta tercorot.

Percaya kepada rezeki, Ayda menjadikan itu sebagai teguran agar tidak terlalu selesa atau bersenang-lenang kerana sentiasa berada di posisi teratas.

“Sejujurnya saya dapat merasakan perkara itu akan berlaku kerana sudah menjangkakan sejak minggu ketiga. Bagaimanapun saya bersyukur kerana masih ada rezeki lagi untuk minggu kelima.

“Pada saya peluang berada di posisi terendah itu ibarat seperti ‘jentikan’ supaya saya terjaga daripada lena. Kadangkala apabila terlalu lama berada di atas, boleh membuatkan kita sedikit lalai,” katanya seraya tersenyum.

Puntianak

Menjawab mengenai persembahan yang bertemakan seram itu, pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat, 32, itu mengakui idea asalnya hanya untuk menjadikan impiannya untuk memegang watak hantu terlaksana.

KATA Ayda, mereka yang berlakon dengan bantuan kesan atau solekan khas perlu diberikan bayaran lebih.

Meskipun berkesudahan dengan sedikit kecewa kerana gagal meraih kedudukan teratas, Ayda berasa puas apabila impiannya selama sedekad dalam industri tercapai.

Katanya, dia sering mendapat naskhah mengisahkan tentang pergolakan rumah tangga dan kecurangan dalam lakonan.

Bukan bermaksud untuk mengkritik, tetapi Ayda punya harapan dan rancangan sendiri bagi mengukuhkan portfolionya sebagai anak seni.

“Saya tidak berasa kecewa dengan industri, tetapi selama lebih 10 tahun kisah sebegitu yang sering saya tonton kaca televisyen dan ditawarkan.

“Sebagai pelakon, saya juga mempunyai impian sendiri dalam berkarya dan salah satunya adalah untuk membawakan watak sebagai hantu atau puntianak.

“Melihat kepada kesan solekan khas pada pelakon, membuatkan saya terfikir bagaimana perasaan mereka dan pengalaman mereka mengenakan solekan sebegitu sambil berlakon yang memakan masa sehingga berjam-jam,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Ayda juga memberitahu, dia menjadikan aktres Maya Karin sebagai idola dalam menjayakan watak seram. Baginya pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman itu cukup ikonik dan ‘serasi’ dengan watak puntianak di mata penonton.

“Setiap orang mempunyai idola masing-masing berdasarkan apa yang mereka lihat. Begitu juga saya yang menjadikan Maya Karin sebagai idola apabila dia berjaya membawakan watak puntianak itu dengan berjaya.

“Mungkin siapa tahu masa akan datang saya berpeluang untuk berlakon bersama dengannya dalam filem seram,” katanya seraya berseloroh.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok