BOLEH ubah dan buat pembaharuan tetapi jangan keterlaluan.”
Itu nasihat penyanyi Stacy buat pereka fesyen tempatan agar tidak terlalu ghairah mengubah rekaan busana tradisional etnik Sabah dan Sarawak sehingga sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.
Menurut Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 33, tidak salah melakukan pembaharuan agar nilai warisan itu kekal relevan namun yang menjadi masalah apabila menghilangkan ciri-ciri sebenar sesebuah rekaan itu.
Pada saya perubahan itu tidak menjadi masalah kerana dapat membuatkan masyarakat mengingati budaya dan adat resam. Begitupun, jangan keterlaluan misalnya terlalu terdedah (seksi) sehingga menyinggung perasaan sesetengah etnik.
“Saya sendiri tidak berani buat perubahan terlalu ketara apatah lagi setiap warna dan corak pada pakaian tradisonal itu ada maksud,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, Stacy enggan mengulas panjang tindakan seorang pereka fesyen yang menampilkan koleksi etnik Borneo yang didakwa cuba menghilangkan identiti kaum terbabit.
Mohon maaf, saya tidak berani beri komen mengenai perkara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Stacy yang mengenakan busana tradisional Kadazan dan Dusun yang digabungkan dengan elemen puteri Jawa ketika mempersembakan lagu Asmaradana dalam The Harderst Singing Show Ahad lalu mengakui berusaha mengekalkan identiti kaum itu.
“Hari ini (kelmarin) saya memakai baju gabungan Kadazan dan Dusun dari Sabah. Apa yang boleh dikatakan saya menggabungkan beberapa elemen kontemporari iaitu tradisional etnik dan Puteri Gunung Ledang itu sendiri.
Saya mengekalkan budaya yang ada selain cuba menyesuaikan dengan konsep program iaitu kreativiti di luar limitasi. Saya juga ingin berterima kasih kepada rakan artis, Marsha Milan yang meminjamkan beberapa aksesori tradisional untuk persembahan,” katanya.
Terdahulu heboh dalam media sosial apabila ada ahli anggota kumpulan wanita dari Sabah diselar kerana bersikap biadab ketika muncul dalam siaran langsung TikTok.
Selain sikap penyanyi itu, warga maya turut mengkritik pakaian tradisional etnik Sabah digayakan kumpulan terbabit dalam muzik video mereka yang dikatakan terlalu moden sehingga tidak mencerminkan elemen budaya dan tradisional. – HIBGLAM